Teknologi singkatkan tempoh siasatan SPRM - Azam

Iklan
Azam ketika hadir pada Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan dan Kelestarian (ICTMS 2025) Universiti Teknologi MARA (UiTM) di UiTM Cawangan Kota Kinabalu, di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Penggunaan teknologi yang meluas ketika ini banyak membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memudahkan kerja risikan serta memendekkan tempoh siasatan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun SPRM kini menggunakan teknologi secara meluas, pihaknya dalam masa sama giat membangunkan sistem supaya kerja penguatkuasaan lebih berkesan.

Iklan
Iklan

"Penggunaan teknologi banyak membantu kerja-kerja perisikan dan penyiasatan, malah dalam sesetengah kes, siasatan dapat diselesaikan lebih cepat, iaitu antara tiga hingga enam bulan berbanding sebelum ini yang mengambil masa lebih lama.

"Namun, SPRM dalam masa sama turut membangunkan sistem supaya kerja penguatkuasaan pencegahan rasuah dapat dijalankan dengan lebih efisien dan berimpak tinggi,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan dan Kelestarian (ICTMS 2025) Universiti Teknologi MARA (UiTM) di UiTM Cawangan Kota Kinabalu, di sini, pada Rabu.

Iklan

Bercakap mengenai program yang dihadirinya itu, beliau yang juga Profesor Adjung ARI, UiTM berkata, pembentangan dalam persidangan berkenaan menyerlahkan pelaksanaan dan integrasi teknologi digital yang semakin meluas seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan blockchain ke dalam proses kerja serta sektor seperti percukaian, e-dagang dan pelaporan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Inovasi ini membawa potensi besar daripada meningkatkan kualiti audit sehinggalah memudahkan pematuhan, namun ia juga membuka ruang baharu kepada rasuah, penipuan dan penyalahgunaan amanah jika tiada kawalan.

Iklan

"Penggunaan sistem semata-mata tanpa disertai pemikiran manusia dalam membuat keputusan adalah tidak mencukupi. Dari segi tadbir urus dan tatakelola pula, jika ada sistem yang baik tetapi pihak yang menguruskannya tidak berintegriti dan tidak berakauntabiliti, maka sistem itu boleh disalah guna," katanya.

Sementara itu, katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) serta Organisasi Polis Antarabangsa (Interpol) telah memberi amaran bahawa Asia Tenggara kini menjadi pusat penipuan siber dan pengubahan wang haram digital.

"Sindiket didapati mengeksploitasi aplikasi teknologi kewangan (Fintech), dompet digital tidak berlesen dan platform rentas sempadan bagi menyembunyikan aliran haram dengan menggunakan identiti palsu serta dokumen yang dijana oleh AI,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun 2023 sahaja, lebih RM330 juta telah hilang akibat penipuan, mewakili peningkatan 25 peratus berbanding tahun 2022, melibatkan penyalahgunaan kripto, platform pelaburan palsu dan kebanyakannya berpunca daripada kelemahan pemantauan saluran digital.

"Dalam Op Tropicana misalnya, SPRM telah membongkar satu sindiket penipuan pelaburan rentas negara yang mengoperasikan ‘boiler rooms’ di seluruh Malaysia," katanya.