Imigresen tumpas sindiket cetak pelekat palsu dan ePLKS

Iklan
Imigresen menahan individu yang disyaki terlibat dengan sindiket PLKS.

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar taktik sindiket meminda dan mencetak pelekat palsu Imigresen untuk dijual kepada pendatang asing tanpa Izin (PATI) yang berada di dalam negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah menjalankan operasi khas di dua lokasi di Jalan Ipoh, di sini, pada jam 11 pagi, Isnin.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan aduan dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah membuat pemeriksaan terhadap seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan yang sedang berurusan di premis tersebut.

"Kita menahan seorang lelaki warga Pakistan yang merupakan dalang utama sindiket berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Operasi khas dijalankan di dua lokasi di Jalan Ipoh, di sini.

Zakaria berkata, operasi itu melibatkan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Iklan

"Semakan awal mendapati lelaki warga Pakistan tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya.

Zakaria berkata, pihaknya telah menyita 13 pelekat palsu terdiri daripada enam Visa Bangladesh, dua Visa India, dua Visa Amerika Syarikat, satu Visa Indonesia, satu Visa Pakistan, satu pelekat muka hadapan Biometrik Pasport Bangladesh, satu set komputer, komputer riba dan mesin pencetak.

"Modus operandi sindiket adalah meminda dan mencetak pelekat palsu imigresen untuk dijual kepada PATI dengan harga sekitar RM100 ke RM120 sekeping mengikut negara yang dicetak," katanya.

Seorang warga Pakistan ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti mencetak pelekat Imigresen.

Beliau berkata, warga asing yang ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Dia ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Seramai satu lelaki dan wanita warga tempatan telah diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.

Zakaria berkata, dalam operasi berasingan pada jam 6.42 petang hari yang sama, JIM menyerbu dua lagi lokasi di Maluri, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.

"Berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, kita telah pergi ke lokasi dan berjaya menahan dua perempuan warga tempatan yang dipercayai sebagai dalang utama serta satu lelaki warga tempatan berusia 40 hingga 43 tahun," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang perempuan dan seorang lelaki warga tempatan yang ditahan itu merupakan penjawat awam.

"Modus operandi sindiket yang telah beroperasi sejak hujung tahun lalu adalah menguruskan pas lawatan kerja sementara (PLKS) kepada warga asing yang berada di Lembah Klang dan tidak memiliki pas.

"Hasil semakan awal mendapati butiran pada ePLKS telah dipinda dan tidak wujud di dalam sistem imigresen. Kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM11,000 bagi setiap seorang," katanya.

Individu terbabit ditahan disyaki aktiviti mencetak pelekat Imigresen.

Menurutnya, pasukan operasi turut menyita sebanyak 101 pasport pelbagai negara terdiri daripada 74 pasport Sri Lanka, 13 pasport Myanmar, enam pasport Vietnam, dua pasport Indonesia, dua pasport Ghana serta masing-masing satu pasport India, Pakistan, Bangladesh dan Syria.

"Kita turut menyita dua unit telefon bimbit dan satu salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang digunakan oleh sindiket itu," katanya.

Zakaria berkata, kesemua warga tempatan yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

"Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Seramai dua warga tempatan telah diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," ujarnya.