PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung pertuduhan amang seksual yang dikenakan ke atas dirinya, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada proses keadilan bagi membersihkan namanya.
Bercakap kepada media selepas prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengakui tuduhan yang dikenakan itu sesuatu yang berat dan mengejutkan.
“Saya baru sahaja didakwa atas satu pertuduhan yang berat. Saya faham ramai yang mempunyai persoalan dan perkara ini memang mengejutkan sesetengah pihak.
“Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas panjang kerana tidak mahu sebarang kenyataan mengganggu perbicaraan nanti.
“Saya serahkan segala-galanya kepada sistem keadilan dan saya bertekad untuk membersihkan nama saya. Saya juga berharap agar orang ramai dapat mendoakan yang baik-baik,” katanya dalam nada tenang.
Terdahulu, Naim Daniel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tujuh bulan di sebuah hotel di Petaling Jaya, pada 19 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.
Prosiding yang berlangsung secara tertutup itu dijalankan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Menjawab pertanyaan berhubung keadaannya ketika ini, penyanyi lagu 'Sumpah' itu memaklumkan bahawa dirinya berada dalam keadaan sihat dan kini lebih menumpukan perhatian kepada aspek kesejahteraan diri.
“Alhamdulillah, saya sihat. Sekarang saya fokus kepada kesejahteraan diri sahaja. Saya tenang dan tidak melatah,” ujarnya.
Berhubung aktiviti seninya, Naim berkata, segala urusan masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusan, khususnya berkaitan jadual persembahan yang telah ditetapkan lebih awal.
“Persembahan masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan. Buat masa ini, saya hanya laksanakan apa yang sudah sedia ada di hadapan mata,” katanya.