Enam persatuan peniaga desak pelaksanaan peluasan SST ditangguh

Iklan
Peluasan SST mulai Julai 2025 dijangka tambah hasil negara RM5 bilion, namun timbul kebimbangan terhadap kesan kepada golongan B40 dan M40.

SHAH ALAM – Enam persatuan perniagaan mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan peluasan Cukai Perkhidmatan (SST) terhadap perkhidmatan penyewaan komersial yang dijadual bermula 1 Julai ini.

Kumpulan itu berpandangan bahawa langkah berkenaan boleh membebankan pengusaha industri serta memberi kesan rantaian terhadap kos pengguna dan kadar sewa.

Iklan
Iklan

Jurucakap gabungan enam persatuan tersebut berkata pelaksanaan SST ke atas sewa komersial akan memberi kesan kepada peniaga runcit tempatan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan penyewa utama premis perniagaan.

“Dalam tempoh ekonomi yang masih tidak menentu, pelaksanaan dasar ini akan meningkatkan tekanan kos ke atas peniaga runcit yang ketika ini masih dalam proses pemulihan pasca pandemik,” katanya dalam satu kenyataan bersama pada Selasa.

Iklan

Gabungan itu terdiri daripada Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Francais Malaysia (MFA), Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPK), dan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI).

Infografik berkenaan SST yang akan bermula 1 Julai ini.

Iklan

Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan peluasan skop SST akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2024, melibatkan beberapa perkhidmatan profesional termasuk penyewaan ruang komersial.

Melalui peluasan skop berkenaan, kadar Cukai Perkhidmatan telah dinaikkan daripada enam kepada lapan peratus, kecuali bagi sektor perkhidmatan makanan dan minuman serta telekomunikasi yang kekal pada kadar enam peratus.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan sebelum ini, peluasan SST merupakan sebahagian daripada langkah penstrukturan semula fiskal negara dan menyasarkan sektor-sektor yang sebelum ini tidak dikenakan cukai, bagi memastikan keadilan sistem percukaian.

Bagaimanapun, gabungan persatuan perniagaan itu menyeru agar kerajaan mempertimbangkan semula langkah tersebut dan memberi ruang kepada rundingan lanjut melibatkan semua pihak berkepentingan.