KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin memberikan tempoh kepada pihak pendakwaan sehingga 3 September depan untuk menyerahkan dokumen berkaitan kes seorang bekas pengurus Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kepada pihak pembelaan.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menetapkan tarikh tersebut semasa sebutan kes melibatkan pertuduhan cubaan mendedahkan maklumat sulit kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros) yang dihadapi oleh Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni, 40.
Mahkamah turut menyatakan harapan agar tiada lagi kelewatan dalam penyerahan dokumen selain mengelakkan tertuduh berulang-alik ke mahkamah tanpa keperluan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulhilmi Latiff memaklumkan bahawa beberapa dokumen masih memerlukan proses akujanji sebelum boleh didedahkan semasa perbicaraan.
“Dokumen tersebut hanya boleh digunakan selepas akujanji ditandatangani memandangkan pertuduhan melibatkan maklumat rahsia syarikat yang bersifat sulit.
“Oleh itu, dokumen berkenaan perlu diklasifikasikan semula dan hanya boleh didedahkan selepas akujanji ditandatangani,” katanya.
Sementara itu, peguam Fadhli Sutris yang mewakili Mohd Khairul Akmal menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama pihaknya dimaklumkan mengenai keperluan akujanji tersebut.
“Sebelum ini, saya tidak pernah dimaklumkan dan tidak tahu bahawa dokumen tersebut memerlukan akujanji,” katanya.
Pada 18 April lalu, Mohd Khairul Akmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan cubaan mendedahkan maklumat, iaitu satu dokumen bertajuk ‘Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial’ kepada Petros.
Dokumen tersebut didakwa diperoleh semasa beliau menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur antara jam 3.19 hingga 3.21 petang pada 8 Jun 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM1 juta, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Seksyen 511 pula memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi separuh daripada tempoh maksimum yang ditetapkan di bawah Seksyen 203A(1), jika sabit kesalahan.