KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 pengunjung dijangka hadir bagi memeriahkan Hari Peradaban Melayu 2025 anjuran Gabungan Nasionalis (GN) yang akan diadakan di Dewan Majlis Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya pada 28 Jun ini.
Pengerusi GN, Aminuddin Yahaya berkata, selepas empat tahun menyepi, karnival tersebut kembali untuk kali kedua bertujuan memberi kefahaman, kesedaran dan membangkitkan jati diri Melayu bahawa mereka mempunyai bangsa, sejarah serta tamadun tersendiri.
Menurutnya, karnival mengangkat tema Menjulang Tamadun Bangsa merupakan salah satu usaha menghadapi cabaran semasa, apabila generasi muda kini dilihat semakin jauh daripada akar budaya mereka sendiri.
“Ramai masih beranggapan kita (Melayu) merupakan bangsa tiada sejarah. Hebatnya kita dahulu apabila pedagang yang datang ke sini terpaksa belajar bahasa kita, tetapi kini sebaliknya berlaku, apabila kita pula perlu bertutur dalam bahasa Inggeris.
“Kita dapat lihat bagaimana berubahnya keadaan dan budaya Melayu mengikut peredaran masa. Jika tiada inisiatif seumpama ini, kita bimbang generasi muda pada masa kini tidak lagi mengenali dan menghargai budaya kita yang sebenar.
“Walaupun karnival ini mengetengahkan peradaban Melayu, kami turut mengalu-alukan penyertaan semua pihak termasuk masyarakat daripada bangsa lain tanpa mengira usia dan latar belakang untuk menyertai acara ini bagi mempelajari dan memahami budaya Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar mengenai pengumuman tarikh dan lokasi karnival berkenaan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, penyertaan pengunjung dari negara luar seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja menjadikan karnival itu sebagai satu platform bertaraf antarabangsa dalam mempamerkan budaya rumpun Melayu secara menyeluruh.
“Acara ini sangat penting terutama ketika bahasa kita menjadi 'rojak'. Kita mahu mengembalikan nilai halus orang Melayu dari sudut tingkah laku dan tutur kata tetapi malangnya ramai sudah lupa asal usul mereka.
“Bagi menarik lebih ramai pengunjung, karnival ini akan diadakan dalam dua sesi dengan menampilkan pelbagai kelainan berbanding penganjuran pada 2021 antaranya memberi tumpuan terhadap persembahan pentas.
“Ia termasuk persembahan silat, kompang, syair dan puisi, nasyid, teater pendek mengenai budaya Alam Melayu, pertandingan memanah serta pelbagai lagi aktiviti menarik lain,” ujarnya.
Tambah Aminuddin, pengunjung turut digalakkan untuk mengenakan pakaian tradisional Melayu seperti zaman dahulu dan berpeluang menyertai pertandingan peragaan busana semasa karnival berkenaan.