[VIDEO] AGC fail notis rayuan kes Yusoff Rawther

Iklan

SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther pada 12 Jun lalu.

AGC dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, rayuan difailkan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Muhammed Yusoff tanpa dipanggil untuk membela diri di akhir kes pendakwaan bagi dua pertuduhan iaitu mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.

Iklan
Iklan

“Pertuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 [Akta 206].

“Setelah mempertimbangkan keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, AGC telah memfailkan notis rayuan pada Isnin bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut,” katanya.

Iklan
Yusoff Rawther dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, di Mahkamah Tinggi

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu pada 12 Jun lalu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Beliau juga berdepan pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pada jam 9.25 pagi, hari yang sama.

Menurut AGC, Seksyen 39B(2) Akta 234 memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

“Seksyen 36(1) Akta 206 pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” ujar kenyataan itu.