KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Seorang jurutera awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 antara 22 Disember 2022 hingga 31 Oktober 2023.
Tertuduh, Muhamad Azly Abdul Aziz, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang daripada seorang individu sebagai dorongan untuk mencadangkan pensijilan tuntutan interim bagi Projek Central Spine Road (CSR) melibatkan Pakej 3 dari Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang; Seksyen 3D dari Bulatan Gua Musang ke Mentara; serta Seksyen 3B dan 3C dari KM180.5 FT08 ke Bulatan Gua Musang.
Bapa kepada empat anak itu didakwa menerima 14 transaksi pindahan wang secara dalam talian ke akaun milik sebuah syarikat yang dilakukan di sebuah bank di Jalan Maju, Kota Bharu, antara 22 Disember 2022 hingga 31 Oktober 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azeezi Nordin.
Sebelum itu, pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000, namun peguambela memohon jumlah diturunkan kepada RM8,000 memandangkan tertuduh kini sedang bercuti tanpa gaji.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.
Hakim menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.