KEMAMAN – Seorang wanita nekad meredah asap tebal demi menyelamatkan suaminya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) serta seorang anak perempuan dalam kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah teres di Taman Rakyat Bestari, Bukit Kuang, di sini pada Ahad.Mangsa, Norhayati Abd Rahman, 41, berkata, dia memimpin suaminya, Rosmadi Abd Razak, 42, yang menghidap masalah saraf sebaik menyedari dapur didiami mereka dipenuhi asap."Masa itu saya tak dapat fikir apa-apa, saya paksa suami gagahkan diri untuk keluar dari rumah yang sedang terbakar."Mujurlah saya berjaya selamatkan dia dan anak, Nur Aisy Aira, 7," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini pada malam Ahad.Norhayati berkata, ketika kejadian dia dan suami serta anak mereka baru sahaja masuk tidur sebelum terhidu bau hangit."Tiba-tiba saya dengar bunyi seperti percikan api. Bila ke dapur, saya nampak asap tebal dah mula penuhi rumah."Suami saya menghidap masalah saraf dan tak mampu berjalan seperti biasa. Tapi saya pimpin dia dan paksa dia keluar perlahan-lahan sebab saya takut rumah meletup atau kebakaran lebih teruk," katanya.
Norhayati (tengah) bersama suami dan anaknya bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran pada malam Ahad.