Penyeludupan migran kini ikut arus digital, iklan di media sosial - Polis

Iklan
Tangkap layar video di aplikasi TikTok menawarkan khidmat membawa masuk dan keluar migran secara haram. Gambar kanan: Soffian

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kegiatan sindiket yang menggunakan pelbagai akaun media sosial bagi menawarkan khidmat membawa masuk dan keluar migran.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pada Februari dan Mac lalu, Bahagian D3 telah melancarkan Op Khas bagi membanteras sindiket penyeludupan migran yang menggunakan media sosial sebagai platform utama kegiatan mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak enam serbuan berasingan telah dijalankan di kawasan Lembah Klang.

“Hasil daripada operasi yang dijalankan, seramai 146 orang migran warga Indonesia telah ditangkap selain penahanan 24 individu kerana menjalankan aktiviti penyeludupan migran dan berperanan sebagai penjaga rumah transit, pengrekrut, tekong darat, tekong laut dan transporter,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menawarkan perkhidmatan melalui iklan di media sosial berikutan capaian meluas dan kemudahan penyamaran di platform digital.

Tambahnya, sindiket akan menggunakan rumah penampungan sebagai tempat transit kepada migran yang hendak masuk atau keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Iklan

Tekong darat (transporter) akan menguruskan perjalanan migran dari rumah penampungan sehingga ke persisiran pantai.

“Laluan yang dipercayai sering menjadi ‘pilihan’ sindiket untuk membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin adalah di kawasan perairan Selangor,” ujarnya.

Soffian berkata, bayaran yang dikenakan bagi urusan masuk atau keluar ke Malaysia adalah antara RM1,300 hingga RM2,500 seorang.

Jelasnya, pihak PDRM turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan butiran pemilik akaun media sosial yang digunakan oleh sindiket tersebut.

Tegas beliau, PDRM mengingatkan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah penyeludupan migran demi memastikan keselamatan negara terus terpelihara dan undang-undang dihormati.

“Tindakan tegas tanpa tolak ansur akan diambil terhadap individu atau sindiket yang terlibat dalam penyeludupan migran.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa video yang memaparkan tawaran untuk membawa masuk dan keluar warga asing melalui laluan laut secara tidak sah.