Tiga maut, lebih 130 cedera serangan roket Iran ke atas Israel

Iklan
Keadaan di lokasi selepas serangan peluru berpandu Iran yang dilancarkan pada 15 Jun 2025.- Foto: AFP

BAITULMAQDIS – Tiga individu dilaporkan maut manakala lebih 130 lagi cedera selepas beberapa serangan roket dilancarkan dari Iran mengenai dua kawasan berpenduduk di Israel awal pagi Ahad.

Menurut agensi kecemasan Israel, Magen David Adom, mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang wanita berusia 69 tahun, seorang wanita lanjut usia berumur 80 tahun, serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Iklan
Iklan

“Serangan pertama yang mengenai kawasan tengah Israel menyebabkan 100 orang cedera manakala 37 lagi cedera dalam serangan kedua yang menyasarkan wilayah Shfela,” kata jurucakap agensi tersebut dalam satu kenyataan.

Pasukan menyelamat tiba di kawasan runtuhan bangunan selepas serangan peluru berpandu Iran.-AFP

Pasukan penyelamat kini sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat, manakala siren amaran serangan udara terus dibunyikan di beberapa kawasan terjejas bagi menggesa penduduk mencari perlindungan.

Iklan

Serangan terbaharu ini berlaku hanya beberapa hari selepas Israel melancarkan Operasi Singa Bangkit (Operation Rising Lion), yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Jumaat lalu, sebagai tindak balas terhadap ancaman nuklear Iran yang semakin meningkat.

Ketegangan antara kedua-dua negara kembali memuncak sejak minggu lalu apabila Iran mendakwa berjaya menembak jatuh tiga jet pejuang F-35 milik Israel, termasuk menawan seorang juruterbang Israel dakwaan yang disangkal keras oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Kesan runtuhan bangunan selepas serangan peluru berpandu Iran mengenai bandar Bat Yam, selatan Tel Aviv, awal pagi 15 Jun 2025. -AFP

Iklan

Israel dan Iran telah lama terperangkap dalam konflik tidak rasmi membabitkan operasi ketenteraan, serangan balas serta perang proksi di Syria, Lubnan dan wilayah Teluk. Namun, pusingan terbaharu serangan ini dilihat sebagai antara yang paling berisiko mencetuskan perang terbuka antara kedua-dua kuasa serantau itu.

Setakat ini, tiada kenyataan lanjut dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel berhubung tindak balas susulan serangan roket pagi tadi. – AFP