GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Naib Ketua UMNO Permatang Pauh, Norazamuddin Ahmad dilaporkan telah meninggal dunia di Makkah pada malam Sabtu.
Arwah yang berusia 56 tahun meninggal dunia ketika baharu selesai melaksanakan tawaf di hadapan Kaabah dalam berpakaian ihram.
Menurut Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, Allahyarham Norazamuddin atau lebih mesra disapa Azam meninggal dunia kerana serangan jantung.
Tambahnya, berita kematian arwah dikhabarkan oleh isterinya pada jam 9 malam Sabtu.
"Ketika waktu Maghrib semalam, saya ada cakap 'video call' dengan arwah. Dia beritahu dia tak berapa larat tetapi berkeinginan untuk naik ke Gua Hira.
"Saya nasihatkan dia supaya tidak meneruskan niatnya kerana lokasi gua itu jauh dan dengan keadaannya yang keletihan, saya rasa tak sesuai.
"Arwah pun akur. Kami menamatkan panggilan dan selepas dua jam, isterinya mengirimkan teks memberitahu arwah terjatuh selepas selesai tawaf. Isteri arwah memohon mendoakan kesihatan arwah," katanya ketika menyampaikan ucapan di Mesyuarat Perwakilan UMNO Permatang Pauh di sini pada Ahad.
Dalam nada sebak, Mohd Zaidi berkata, selang lima minit, isterinya memaklumkan bahawa arwah telah menghembuskan nafas terakhirnya dalam berpakaian ihram.
"Saya mohon semua yang ada di sini supaya sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah," katanya.
Sementara itu, Mohd Zaidi ketika ditemui berkata, arwah telah memasang stent jantung sejak lapan tahun lalu namun tidak pernah mengadu sakit sepanjang tempoh berkenaan.
"Arwah ni sihat walaupun dia dah pasang stent pada jantungnya sejak tujuh, lapan tahun lalu. Tetapi dia tak pernah mengadu sakit. Masa dia nak pi (Makkah) pun, dia kelihatan sihat.
"Semalam masa arwah 'video call' pun dia masih ceria. Tetapi ALLAH SWT lebih menyayanginya," katanya.
Mohd Zaidi menambah, jenazah Norazamuddin telah disemadikan pada waktu subuh waktu Makkah.
"Saya dimasukkan ke dalam 'zoom meeting' ketika pengebumian arwah. Saya sempat menyaksikan pengebumian arwah sehingga jenazah dibawa masuk ke liang lahat.
"Arwah dikebumikan pada jam 9.30 pagi waktu Malaysia, iaitu waktu subuh di sana (Makkah). Ketika ini, kita sedang berusaha untuk menguruskan kepulangan isteri arwah.
"Ini kerana, mengikut jadual, arwah dan isterinya sepatutnya pulang pada 2 Julai. Namun apabila berlaku seperti ini, kita nak bawa isterinya pulang lebih awal," katanya.