BAITULMAQDIS - Israel melancarkan serangan ke atas fasiliti nuklear dan pangkalan ketenteraan utama Iran awal pagi Jumaat, mencetuskan gelombang ketegangan baharu di Asia Barat.
Sebagai tindak balas, Iran melepaskan ratusan peluru berpandu balistik ke arah Tel Aviv dan bandar-bandar utama Israel, mengorbankan seorang serta memusnahkan infrastruktur kritikal.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan Israel telah memaklumkan kepadanya sebelum serangan dan AS kini membantu menangkis peluru berpandu Iran menggunakan sistem pertahanan canggih.
Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump memberi amaran kepada Iran untuk “buat perjanjian sebelum segalanya musnah,” namun pada masa sama masih membuka ruang rundingan nuklear.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres merayu kedua-dua pihak menghentikan serangan segera dan menyifatkan konflik ini sebagai"bom masa" kepada kestabilan global.
Penganalisis dari Carnegie Endowment, Dr. Karim Sadjadpour memberi amaran konflik ini “paling merbahaya sejak 1979 dan berpotensi melibatkan kuasa besar dunia.”
China dan Rusia mengecam tindakan Israel dan mendesak AS supaya tidak menyokong konflik yang boleh mencetuskan perang serantau.
Pada masa sama, harga minyak mentah melonjak lebih tujuh peratus dalam sehari, sekali gus meningkatkan risiko inflasi global yang sedang bergelut untuk pulih pasca pandemik.
Pasaran saham dunia menjunam serentak, termasuk indeks Dow Jones, FTSE dan Nikkei yang mencatatkan kerugian lebih satu peratus.
Justeru, pelabur kini beralih kepada emas sebagai aset selamat, mendorong harga logam itu hampir mencecah paras rekod AS$3,500 (RM16,500) seauns.
Pakar ekonomi Bloomberg, Sophia Ma memberi amaran bahawa konflik ini boleh"melumpuhkan pertumbuhan global dan memaksa bank pusat buat pilihan sukar."
Lapangan terbang di Asia Barat kini ditutup, manakala penerbangan antarabangsa dialihkan, menjejaskan logistik dan perdagangan global.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata serangan ini perlu bagi “melumpuhkan Iran sebelum mereka miliki senjata nuklear.”
Iran menegaskan mereka hanya bertindak mempertahankan diri dan menolak dakwaan kononnya sedang membina bom nuklear.
Rundingan nuklear yang dijadualkan berlangsung di Oman minggu ini kini tergantung tanpa kepastian.
Malaysia dan negara ASEAN lain menyeru bertenang dan menolak sebarang bentuk pencerobohan ketenteraan terhadap negara berdaulat.
Pakar keselamatan, Meir Javedanfar menyifatkan situasi ini sebagai “permulaan kepada krisis geopolitik global yang boleh merebak ke luar Asia Barat.”
Profesor John Mearsheimer dari University of Chicago memberi amaran bahawa “satu salah langkah boleh mengheret dunia ke dalam Perang Dunia Ketiga (WW3).”
Ketika harapan semakin menipis, dunia kini menanti sama ada diplomasi dapat menyelamatkan tamadun manusia daripada kehancuran besar-besaran.
Info
Kesan konflik Iran-Israel
Harga minyak melonjak
Pasaran saham menjunam
Gangguan jaring penerbangan
Ancaman perang serantau dan global.
Ketegangan politik dan diplomatik