Kerusi 11A: Takdir atau keajaiban?

Iklan
Perdana Menteri India, Narendra Modi bertemu Vishwash Kumar Ramesh, satu-satunya mangsa terselamat nahas pesawat Air India 171 di hospital Ahmedabad. - AFP

AHMEDABAD – Dalam tragedi paling buruk melibatkan pesawat Air India, kerusi 11A kini menjadi tanda tanya besar selepas penumpangnya terselamat dalam keadaan yang disifatkan pakar sebagai"luar biasa dan hampir mustahil".

Vishwash Kumar Ramesh, warga Britain keturunan India, duduk di kerusi 11A iaitu barisan kecemasan di atas sayap kiri pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang terhempas dan terbakar sejurus berlepas.

Iklan
Iklan

“Bunyi kuat meletup selepas berlepas... kemudian gelap. Tapi bila saya sedar, saya masih hidup,” katanya dari katil hospital, menggambarkan detik dia keluar melalui ruang kecil berhampiran pintu kecemasan, dengan tangan melecur disambar api.

Apa yang mengejutkan pakar keselamatan adalah lokasi kerusi itu.

Iklan

“Tempat duduk atas sayap adalah kawasan paling teruk impak. Sukar dipercayai ada orang boleh keluar hidup dari situ,” kata David Soucie, bekas penyiasat FAA kepada CNN.

Menurut rekod yang tular di media India, pas masuk penerbangan Ramesh menunjukkan 11A iaitu hanya beberapa sentimeter dari titik impak utama.

Iklan

Namun bahagian tempat duduknya hampir tidak musnah.

Ramesh berkata, dia membuka tali pinggang keselamatan dan meloloskan diri sambil melihat ramai penumpang mati di sekelilingnya.

“Saya fikir saya juga akan mati,” katanya.

Doktor memaklumkan kecederaannya ringan dan dia dijangka pulih sepenuhnya.

Namun Ramesh masih trauma dan tidak tahu nasib abangnya yang duduk di tempat lain.

Ahli keluarganya di UK menyifatkan kelangsungan hidup Ramesh sebagai"ajaib", dan memilih untuk tidak mengulas lanjut demi menghormati mangsa lain.

Pesawat itu membawa 242 individu, termasuk 53 warga Britain. Hanya satu yang selamat iaitu dari kerusi 11A.

Kini, kerusi itu menjadi simbol keajaiban... dan misteri yang masih belum terjawab. - Agensi