Rasuah lebuh raya: Aset RM141 juta disita, RM15 juta sedang dikesan

Iklan
Antara barangan yang disita SPRM.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita aset dalam negara bernilai RM141 juta, manakala aset di luar negara bernilai RM15 juta sedang dikesan, bagi siasatan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang dipercayai milik seorang individu bergelar Tan Sri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pecahan sitaan itu antaranya membabitkan akaun individu sebanyak RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium mewah dan tanah RM24.5 juta, jam tangan mewah RM26 juta, sembilan unit kereta mewah RM7.65 juta serta barangan kemas dan berlian bernilai RM10 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, barangan lain yang disita termasuk tas tangan mewah RM6 juta; jongkong, patung emas dan syiling emas bernilai RM3 juta; serta empat ekor kuda bernilai RM400,000.

Azam

“Aset-aset di luar negara yang dianggarkan berjumlah RM15 juta dalam proses pengesanan oleh pihak SPRM.

Iklan

“Selain itu, antara penggunaan wang hasil daripada aktiviti haram termasuklah perbelanjaan minuman beralkohol dan aktiviti perjudian berjumlah RM25 juta,” ujarnya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan aset dan transaksi yang telah dikesan dalam penyalahgunaan dana sukuk ini berjumlah RM156 juta.

Iklan

Tambahnya, SPRM sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa lain seperti Bank Negara Malaysia dan Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan maklumat berkaitan aset dan hartanah di luar negara.

Katanya lagi, setakat ini, proses rakaman percakapan terhadap Tan Sri terbabit masih belum selesai dan akan disambung pada 19 Jun depan.

“Sehingga hari ini, seramai 54 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya.

Antara aset yang disita SPRM

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata bahawa pemegang konsesi lebuh raya terbabit merupakan saksi utama dalam siasatan kes berkenaan.

Media sebelum ini juga melaporkan bahawa 45 saksi yang telah diambil keterangan sebelum ini telah dipanggil semula untuk memberikan maklumat tambahan.

Pasukan siasatan SPRM kini sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri berkenaan di dalam serta luar negara, termasuk di London dan Switzerland.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara tahun 2016 hingga 2020, di mana dana sukuk yang diluluskan berjumlah kira-kira RM1.35 bilion, membabitkan penyelewengan melalui tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta dan RM416 juta, serta pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.

Projek lebuh raya yang bernilai RM1.67 bilion itu juga gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Siasatan turut menumpukan kepada isu rasuah bernilai RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan untuk membantu mengalirkan wang keluar dan mengembalikannya semula kepada suspek.