Kerajaan tidak pernah pinggir pembangunan negeri lain - Zairil

Iklan
LRT Laluan Mutiara bernilai RM10.5 bilion telah diluluskan Kabinet dan dibiayai kerajaan Pusat pada Mac 2024. Gambar kecil, Zairil.

GEORGE TOWN – Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara bukan sekadar penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas yang semakin memburuk di negeri ini, sebaliknya menjadi pemangkin baharu kepada lonjakan ekonomi digital, pelaburan antarabangsa dan pembangunan mobiliti bandar yang lebih mampan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pelaksanaan projek mega itu bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang, malah turut menyumbang secara tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Iklan
Iklan

“Pelaburan yang berjaya ditarik ke negeri ini akan menyumbang kepada hasil negara yang kemudian diagihkan semula dalam bentuk infrastruktur dan pelbagai sektor lain di seluruh Malaysia,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keperluan projek LRT sebagai pelengkap kepada pembangunan menyeluruh negeri.

Iklan

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keutamaan perbelanjaan infrastruktur negara dengan memindahkan peruntukan projek LRT Laluan Mutiara kepada usaha menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat dari Gerik ke Jeli.

Ia susulan kemalangan ngeri membabitkan bas ekspres yang mengorbankan 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kejadian pada Isnin lalu.

Iklan

Tambah Zairil, kerajaan tidak pernah meminggirkan negeri-negeri lain dalam soal pembangunan infrastruktur.

"Sebagai contoh, laluan penting seperti Jalan Gerik-Jeli telah menerima peruntukan hampir RM84 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

"Peruntukan pembaikan jalan di negeri-negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung Malaysia sentiasa diambil kira setiap tahun menerusi agihan kementerian berdasarkan keperluan semasa dan kadar penggunaan jalan tersebut," ujarnya.

Zairil menambah, projek LRT Laluan Mutiara adalah satu inisiatif khas di bawah Kerajaan Madani sebagai usaha merealisasikan impian sebahagian besar rakyat negeri ini yang menginginkan sistem pengangkutan awam moden dan cekap.

“Dengan adanya LRT, pergerakan harian rakyat akan menjadi lebih lancar tanpa bergantung sepenuhnya kepada jalan raya.

"Sudah tentu kita juga berharap rekod kemalangan dapat dikurangkan dengan pengurangan kenderaan persendirian di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, projek LRT Laluan Mutiara yang bakal menghubungkan kawasan utama di bahagian pulau dan seberang itu dilihat sebagai antara langkah proaktif kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menstruktur semula sistem pengangkutan serta memperkasa ekonomi setempat menerusi peningkatan akses mobiliti.

Terbaharu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan projek LRT Laluan Mutiara bakal memulakan kerja-kerja fizikal dalam tempoh sebulan hingga dua bulan selepas semua isu tertangguh antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat telah diselesaikan.

Anthony Loke berkata, kerja-kerja awal termasuk kerja-kerja penanaman cerucuk akan dilaksanakan dan pihaknya telah meminta agar pelan lencongan trafik disediakan sebaik kerja pembinaan bermula.