Kerajaan beri pengecualian levi pendidikan swasta bermula 1 Januari 2026

Iklan
Anwar ketika berucap pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan 2025 di Bukit Jalil pada Sabtu. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk mengecualikan pembayaran levi pendidikan selama setahun kepada semua institusi pendidikan dan latihan swasta bermula 1 Januari 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengecualian tersebut merupakan kali pertama dalam sejarah pentadbiran kerajaan sebagai usaha meningkatkan mutu pendidikan dan latihan kemahiran di peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pendidikan vokasional, institusi pendidikan tinggi (IPT) swasta dan institut latihan.

Iklan
Iklan

“Ini membolehkan institusi terbabit memberi tumpuan untuk meningkatkan mutu pengajaran. Saya juga telah meminta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia untuk memantau pelaksanaannya agar institusi-institusi berkenaan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Kerajaan akan mencari kaedah dan peruntukan terbaik untuk membantu anak-anak, dan langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha pembaharuan menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Latihan Kebangsaan 2025 (NTW 2025) di pekarangan Stadium Bukit Jalil di sini pada Sabtu.

Iklan

Sebagai makluman, levi pendidikan merujuk kepada cukai atau bayaran khas yang dikenakan kerajaan ke atas individu, syarikat atau institusi swasta bagi tujuan membiayai sektor pendidikan negara.

Anwar menegaskan bahawa pendekatan ini bukan bersifat populis, sebaliknya merupakan pelaburan strategik ke arah pembinaan tenaga kerja masa depan yang berdaya saing dan beretika.

Iklan

Beliau berkata, pengecualian levi juga memberi ruang kepada institusi terbabit untuk menyemak semula struktur serta pendekatan pembelajaran, termasuk memperkukuh kerjasama industri dan penglibatan komuniti dalam pendidikan dan latihan.

“Selain itu, syarikat swasta yang mencatat keuntungan tinggi perlu memberi pulangan kepada pekerja,” ujarnya.

NTW 2025 yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan oleh HRD Corp dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia.

Ia merupakan inisiatif tahunan yang membuka akses kepada peluang pembelajaran dan latihan percuma kepada semua individu tanpa mengira umur, latar belakang atau tahap pendidikan.