Kes Yusoff Rawter: Laporan disiasat dengan adil - KPN

Iklan
Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat setiap laporan dengan adil dan tidak prejudis tanpa mengira latar belakang termasuk kes berprofil tinggi membabitkan Muhammed Yusoff Rawther.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan polis dibuat Yusoff Rawther pada 12 September disiasat selari dengan dua kertas siasatan yang dibuka berkaitan penemuan dadah serta pistol.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak polis menghormati dan mengalu-alukan reaksi serta pandangan yang dikemukakan oleh semua pihak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Yusoff Rawther.

“Pandangan itu mencerminkan satu hasrat murni untuk memastikan sistem keadilan jenayah negara terus menjunjung prinsip keadilan dan hak asasi manusia.

Iklan

“Justeru, PDRM masih menunggu dan akan meneliti penghakiman penuh perbicaraan tersebut untuk melihat jika terdapat sebarang kelompongan atau kelemahan ketika siasatan dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, PDRM bersedia melakukan penambahbaikan melalui penilaian dalaman dan semakan semula terhadap prosedur operasi standard (SOP) penyiasatan.

Iklan

Tambahnya, keputusan pertuduhan itu dilaksanakan selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara.

Katanya, tiada keperluan untuk mengambil kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes berkenaan memandangkan tindakan diambil semasa aduan dibuat oleh Yusoff Rawther di peringkat awal.

“Pada peringkat itu PDRM sudah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan cadangan pertuduhan bagi kedua-dua kes.

“AGC berpuas hati bahawa berdasarkan keterangan yang ada pada masa itu, ia adalah mencukupi untuk menuduh Yusoff Rawther tanpa perlu memanggil mana-mana pihak lain untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Katanya lagi, sepertimana juga kes-kes lain yang diputuskan oleh mahkamah sebelum ini, PDRM sentiasa cakna terhadap keputusan-keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada PDRM.

“PDRM akan terus mengambil tindakan proaktif dalam meningkatkan kualiti siasatan serta mengoptimumkan proses pendakwaan,” ujarnya.

Pada Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik Yusoff Rawther tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.