Nahas Air India: Pakar siasat kemungkinan pesawat terlanggar burung

Iklan
Keadaan bangkai pesawat Air India 171 yang terhempas di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang Ahmedabad. - AFP

AHMEDABAD - Nahas pesawat Air India yang mengorbankan lebih 265 nyawa selepas terhempas sejurus berlepas pada Rabu lalu mungkin berpunca daripada serangan burung, kata pakar penerbangan ketika pihak berkuasa masih menyiasat isyarat ‘mayday’ yang dihantar juruterbang sebelum komunikasi dengan menara kawalan terputus.

Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India, penerbangan AI171 ke London Gatwick, terhempas pada ketinggian sekitar 183 meter hanya beberapa minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific Flight Training Academy, Hemanth DP, pesawat itu mempunyai rekod keselamatan yang cemerlang dan kejadian sebegini hanya berlaku akibat"kegagalan bencana".

“Jika kedua-dua enjin menyedut sekumpulan besar burung serentak, ia boleh menyebabkan kehilangan kuasa mendadak,” katanya kepada sebuah akhbar.

Iklan

Pengarah Jeneral Penerbangan Awam India mengesahkan juruterbang sempat membuat panggilan kecemasan ‘mayday’ sebelum pesawat terputus hubungan dengan menara kawalan.

Pakar keselamatan penerbangan Michael Daniel berkata, siasatan akan tertumpu kepada isi sebenar panggilan ‘mayday’ tersebut.

Iklan

Rakaman video menunjukkan gear pendaratan masih diturunkan dan flap pesawat telah ditarik balik, satu keadaan tidak biasa semasa fasa awal pendakian.

“Ini bertentangan dengan prosedur biasa. Selepas berlepas, gear akan dinaikkan secepat mungkin untuk meningkatkan kelajuan,” katanya.

Kes serangan burung pernah dikaitkan dengan nahas besar seperti insiden Jeju Air di Korea Selatan pada Disember lalu yang mengorbankan 179 nyawa, serta insiden terkenal US Airways Penerbangan 1549 pada 2009 yang mendarat cemas di Sungai Hudson selepas dilanggar kawanan angsa.

Kira-kira 90 peratus serangan burung berlaku pada altitud rendah semasa berlepas atau mendarat dan boleh mendatangkan bahaya serius sekiranya melibatkan enjin atau komponen penting pesawat.

Pihak penyiasat dijangka menumpukan usaha kepada pemulihan perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit untuk menentukan punca sebenar tragedi ini. - Agensi