Indonesia ketinggalan berbanding Malaysia, Thailand dalam pelancongan

Iklan
Pelancong menikmati pengalaman menaiki gerabak terbuka yang melalui landasan kereta api di Jawa Timur Park di Batu. Foto Agensi

JAKARTA - Kekayaan warisan budaya serta keindahan alam semula jadi yang luas sepatutnya meletakkan Indonesia sebagai destinasi pelancongan utama Asia Tenggara, namun negara itu terus ketinggalan di belakang Malaysia dan Thailand dari segi jumlah pelancong asing, menurut pemain industri.

Data Agensi Statistik Pusat Indonesia (BPS) menunjukkan negara itu merekodkan kira-kira 14 juta ketibaan pelancong asing bagi tempoh Januari hingga November 2025, meningkat 10.44 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Namun, Thailand mencatat 33 juta pelawat antarabangsa bagi keseluruhan 2025, manakala Malaysia merekodkan 28.2 juta ketibaan dalam tempoh Januari hingga Ogos.

Vietnam dan Singapura turut mengatasi Indonesia, masing-masing dengan 19.15 juta dan 15.55 juta ketibaan pelancong asing dalam tempoh 11 bulan pertama 2025.

Iklan

Pemain industri berpandangan jurang berkenaan bukan berpunca daripada kekurangan tarikan, sebaliknya mencerminkan keutamaan dasar kerajaan yang masih memberi tumpuan kepada projek perindustrian dan hiliran mineral berbanding sektor pelancongan.

Pengerusi Persatuan Industri Pelancongan Indonesia (GIPI), Hariyadi Sukamdani berkata, destinasi dan produk pelancongan Indonesia adalah antara yang terbaik di ASEAN, namun tidak diberi keutamaan sewajarnya oleh pembuat dasar.

Iklan

“Kami memiliki segala-galanya, daripada budaya hingga sejarah. Malangnya, pelancongan masih belum dianggap sebagai sektor strategik,” katanya baru-baru ini.

Beliau turut menekankan kos penerbangan yang tinggi sebagai kekangan utama, termasuk cukai nilai tambah ke atas tiket penerbangan dan bahan api penerbangan, serta duti import ke atas alat ganti pesawat.

Menurutnya, penghapusan levi berkenaan mampu menurunkan harga tiket dan menarik lebih ramai pelancong.

Bagi 2026, Indonesia menyasarkan sekurang-kurangnya 16 juta ketibaan pelancong asing, dengan purata perbelanjaan sekitar AS$1,330 (RM5,320) seorang serta pendapatan pertukaran asing tidak kurang daripada AS$22 bilion (RM89.5 bilion).

Sektor pelancongan juga dijangka menyumbang 4.6 peratus kepada KDNK dan menjana 26 juta peluang pekerjaan. - Agensi