Peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Na’imah, 68, berkata demikian ketika prosiding pendengaran permohonan semakan keputusan Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim K. Muniandy.
Menurut Gurdial, keputusan mahkamah berkenaan turut menafikan hak anak guamnya apabila persoalan penting dalam kes tersebut tidak diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, mahkamah telah menyalahtafsir undang-undang sehingga menyebabkan ketidakadilan, sekali gus menutup ruang untuk mendapatkan kepastian mengenai kedudukan undang-undang itu.
“Kesilapan ini harus dibetulkan demi menjaga integriti kehakiman dan memastikan hak anak guam dihormati sepenuhnya.
“Na’imah telah mematuhi notis di bawah Seksyen 36(1)(b) apabila mendedahkan maklumat mengenai hartanya dan membuat akuan bersumpah, namun SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyifatkannya sebagai tidak mencukupi,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata, anak guamnya didakwa atas pertuduhan jenayah dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda maksimum RM100,000.
Hakim Muniandy kemudian menetapkan 11 Julai untuk sambungan hujahan daripada pihak pendakwaan selaku responden.
Pada 29 Februari 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang yang melibatkan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta SPRM 2009, serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Bagaimanapun, permohonan tersebut ditolak oleh Mahkamah Sesyen kerana dianggap tidak bermerit dan kes tersebut tidak melibatkan persoalan perlembagaan.
Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis tersebut dihantar kepadanya oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu berkaitan kegagalan mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Harta itu melibatkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd., dua buah Mercedes-Benz, serta lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini, serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantonment, Pulau Pinang; dan Jalan Antinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.