Remaja 17 tahun direman kes bunuh ibu, abang kandung

Iklan
Suspek meninggalkan Mahkamah Melaka dengan menaiki van berwarna putih.

MELAKA – Seorang remaja juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dipercayai menikam ibu dan abang kandungnya hingga maut direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.

Perintah tahanan reman terhadap remaja berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret N. Sivashangari sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Iklan
Iklan

Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu dibawa ke kompleks mahkamah kira-kira jam 9 pagi sebelum dibawa keluar dengan menaiki van polis berwarna putih.

Pengamal media yang berada di pekarangan mahkamah seawal jam 8.30 pagi untuk merakamkan gambar pesalah juvana itu tidak berhasil kerana suspek merupakan pesalah bawah umur dan dikawal ketat oleh pihak polis.

Iklan

Sinar Harian pada Khamis melaporkan seorang guru dan anak sulungnya berusia 21 tahun dipercayai dibunuh dalam kejadian menyayat hati di Taman Rambai Mutiara.

Mangsa berusia 51 tahun dan anak sulungnya dipercayai ditemui di ruang tamu rumah, manakala anak lelaki bongsunya berusia 13 tahun pula ditemui berlumuran darah di garaj kereta rumah teres setingkat itu.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, tekanan belajar dan sering dimarahi dipercayai menjadi punca suspek bertindak menikam ibu dan abangnya sehingga maut dalam kejadian tragis tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, suspek dipercayai masuk ke bilik ibunya yang juga merupakan seorang guru dan ibu tunggal, lalu menyerang mangsa sebelum menikam wanita berusia 51 tahun itu menggunakan pisau lipat.

Menurutnya, anak sulung mangsa yang menyedari kekecohan berlaku cuba meleraikan keadaan, namun turut ditikam suspek sehingga maut sebelum mayat kedua-dua beranak itu ditemui di ruang tamu rumah.

Manakala seorang lagi anak lelaki bongsu mangsa yang berusia 13 tahun turut mengalami kecederaan parah akibat ditikam suspek, namun dilaporkan dalam keadaan stabil dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.