Serangan ke atas Iran akan diteruskan 'selagi perlu' - Netanyahu

Iklan
Benjamin Netanyahu.-AFP

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa operasi ketenteraan ke atas Iran akan diteruskan tanpa tempoh masa yang ditetapkan selagi misi menghancurkan keupayaan pertahanan Iran belum diselesaikan sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan rasmi pada Jumaat, beliau menyatakan bahawa serangan tersebut menyasarkan program nuklear, sistem peluru berpandu balistik dan infrastruktur ketenteraan Iran yang dilihat sebagai ancaman langsung kepada keselamatan Israel.

Iklan
Iklan

“Operasi ini akan diteruskan selagi perlu, sehingga kami menyempurnakan misi,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas beberapa siri letupan dilaporkan berlaku awal pagi tadi di timur laut Teheran, dipercayai akibat serangan udara yang dilancarkan oleh Tentera Udara Israel.

Iklan

Menurut laporan daripada agensi berita Axios dan Reuters, serangan itu dikatakan dilaksanakan secara tepat terhadap lokasi strategik, dan sumber tentera memaklumkan ia adalah sebahagian daripada tindak balas ke atas program ketenteraan Iran yang didakwa semakin agresif.

Dua pegawai kanan Amerika Syarikat memaklumkan bahawa Washington tidak memberikan sebarang sokongan atau kerjasama dalam operasi berkenaan.

Iklan

Setakat ini, kerajaan Iran belum mengeluarkan butiran rasmi mengenai kemusnahan atau jumlah korban akibat serangan tersebut, namun agensi berita rasmi Iran, Nour News, mengesahkan berlaku letupan di kawasan timur laut Teheran.

Konflik antara Israel dan Iran telah berlarutan sejak bertahun lamanya, namun kembali memuncak susulan dakwaan bahawa Iran mempergiatkan pembangunan senjata nuklear dan memperluaskan pengaruh tenteranya di Asia Barat melalui kumpulan proksi seperti Hizbullah di Lubnan dan Houthi di Yaman.

Israel sejak sekian lama menyatakan pendirian bahawa ia tidak akan membenarkan Iran memperoleh senjata nuklear, dan bersedia mengambil tindakan ketenteraan secara unilateral jika perlu.

Pada masa sama, rundingan nuklear antara Iran dan kuasa-kuasa dunia termasuk Amerika Syarikat masih menemui jalan buntu, manakala kenyataan saling mengancam antara pemimpin Teheran dan Tel Aviv terus memburukkan keadaan.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut memberi amaran bahawa terdapat 'kebarangkalian tinggi' berlakunya konflik besar-besaran sekiranya ketegangan antara kedua-dua negara gagal dikawal. -Agensi