DAMSYIK - Syria di bawah kerajaan peralihan kini mewajibkan wanita memakai pakaian renang tertutup di pantai dan kolam awam bagi menjaga kesopanan serta keselamatan orang ramai.
Menurut laporan berita Al-Ikhbariyah al-Suriyah, arahan baharu itu dikeluarkan Kementerian Pelancongan untuk kepentingan awam.
Iklan
Iklan
Arahan tersebut berkuat kuasa di semua pantai serta kolam renang awam, bagaimanapun tempat persendirian termasuk hotel bertaraf lima bintang dikecualikan.
Menteri Pelancongan, Mazen al-Salhani berkata, pengunjung pantai atau kolam renang sama ada penduduk tempatan dan pelancong kini diwajibkan mematuhi etika pemakaian lebih sopan di tempat awam khususnya kawasan pantai.
"Pakaian renang lebih tertutup seperti burkini diwajibkan untuk wanita dan mereka juga perlu memakai jubah atau pakaian longgar apabila berjalan antara pantai ke kawasan lain.
"Lelaki pula dilarang berkeliaran tanpa baju di kawasan awam seperti lobi hotel, restoran dan kawasan rekreasi," katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook.
Dalam pada itu, pihak berkuasa akan menempatkan penyelamat dan penyelia di lokasi terlibat bagi memastikan pengunjung mematuhi peraturan ditetapkan.