KLANG - Struktur dinding sebuah kedai buah-buahan di Bandar Baru Klang di sini runtuh manakala enam kenderaan rosak dipercayai akibat letupan karbait di premis perniagaan pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 5.21 petang.
"Seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum tiba pada jam 5.27 petang.
"Semakan awal mendapati kejadian melibatkan letupan di bahagian belakang premis menjual buah-buahan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, impak letupan mengakibatkan berlakunya runtuhan melibatkan dinding pejabat premis menjual buah-buahan itu.
"Selain itu, terdapat enam buah kenderaan yang diletakkan berdekatan lokasi kejadian turut mengalami kerosakan.
"Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa," katanya.
Menurutnya, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.