MANJUNG – Polis membuka siasatan terhadap satu hantaran jelik di media sosial yang didakwa menghina mangsa kemalangan jalan raya membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu kira-kira jam 4.40 petang pada 11 Jun.
Menurutnya, laporan dibuat selepas seorang pengguna Facebook didakwa memuat naik status yang menyentuh sensitiviti dan dianggap tidak wajar.
“Hantaran tersebut berunsur jelik terhadap pelajar UPSI yang terlibat dalam tragedi kemalangan jalan raya baru-baru ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Hasbullah dalam pada itu menasihati orang awam supaya tidak memuat naik sebarang kandungan di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran atau mengganggu ketenteraman awam.
Jelasnya, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu menyalahgunakan platform media sosial untuk menyentuh isu sensitif yang mendatangkan kegusaran atau mengganggu ketenteraman awam.
Sebelum ini tular tangkap layar di media sosial akaun Facebook milik seorang guru membuat hantaran jelik berkaitan mangsa nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar UPSI sebelum pemilik akaun berkenaan membuat permohonan maaf.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengarahkan satu laporan lengkap disediakan berhubung tindakan seorang guru yang membuat hantaran jelik berkaitan nahas tragis yang meragut nyawa 15 penuntut UPSI itu
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, laporan lengkap itu perlu disediakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selaras dengan surat pekeliling yg dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan berkaitan pengurusan isu.