JPJ laksana pemeriksaan JISA besar-besaran

Iklan
Anthony

GERIK - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan operasi pemeriksaan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) secara besar-besaran terhadap syarikat pengendali kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam di seluruh negara.Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kadar pematuhan syarikat terhadap syarat asas dalam laporan JISA itu disifatkan masih lemah.

"Syarat tersebut termasuklah penyediaan pegawai atau penyelia keselamatan, pemantauan kelajuan melalui sistem kedudukan global (GPS), pematuhan had maksimum pemanduan selama lapan jam serta keperluan rehat 30 minit setiap empat jam pemanduan.

Iklan
Iklan

"Selain itu, GPS perlu dipasang dalam semua kenderaan, pelan tindakan kecemasan mesti disediakan dan talian hotline syarikat perlu diwujudkan bagi menerima aduan pelanggan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kemalangan dan bangkai kenderaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, pada Khamis.

Tambah beliau, pelaksanaan JISA sebelum ini telah dijalankan secara berkala dan rawak terhadap syarikat-syarikat pengendali yang dikenal pasti berisiko tinggi atau pernah terlibat dalam kemalangan.

Iklan

"Prosedur ini merupakan sebahagian daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) setiap kali berlaku kemalangan, sama ada kemalangan maut atau kemalangan biasa, kita akan segera melaksanakan audit.

"Saya tidak mahu ada pihak mengatakan bahawa kita tidak melaksanakannya sebelum ini. Kita memang laksanakan sepanjang masa, tetapi kali ini ia akan digandakan secara lebih agresif dan menyeluruh," katanya.

Iklan
Keadaan bas yang membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas terbabit dalam nahas yang mengorbankan 15 penumpang di JRTB Gerik-Jeli Isnin lalu.

Anthony turut mengingatkan semua syarikat pengendali agar mematuhi semua syarat dan peraturan yang ditetapkan.

"Perkara ini bukan sesuatu yang baharu kerana mereka memang sedia maklum mengenainya.

"Saya beri amaran kepada semua syarikat pengendali supaya melaksanakan pematuhan dan audit dalaman sebelum JPJ mengambil tindakan," tegasnya.

Tambah beliau, melalui pelaksanaan audit secara besar-besaran ini, kementerian berharap tahap keselamatan pengangkutan awam negara dapat terus ditingkatkan.