Saya dianiayai, akan terus berjuang demi keadilan - Yusoff Rawther

Iklan
Yusoff (kiri) pada sidang akhbar di luar mahkamah.

KUALA LUMPUR – “Saya akan berjuang untuk mencari keadilan kerana saya telah disalahi, dianiayai dan diperlakukan macam-macam.”

Demikian luahan Muhammed Yusoff Rawther, bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik, sejurus Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis melepaskan dan membebaskannya (DNA) atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan.

Iklan
Iklan

Yusoff, 32, berkata, pengalaman ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan merupakan satu fasa yang penuh pengajaran, lebih-lebih lagi bagi seseorang yang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan jenayah.

Namun begitu, cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris, tetap memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas keputusan mahkamah tersebut.

Iklan

“Pembebasan ini merupakan kemenangan untuk semua rakyat Malaysia.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai penjara yang sangat profesional kerana menjaga keselamatan dan kebajikan saya sepanjang berada di penjara,” katanya dalam sidang akhbar di luar mahkamah.

Iklan

Pada Khamis, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Yusoff tanpa perlu dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, yang menegaskan bahawa keadaan dalam kes berkenaan menimbulkan keraguan sama ada tertuduh mempunyai kawalan eksklusif ke atas barang kes.

Pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar 305 gram dadah jenis kanabis dalam sebuah kenderaan di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, kira-kira jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Yusoff turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, pada jam 9.25 pagi, hari yang sama.

Kesalahan itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 12 November 2024, Mahkamah Majistret membenarkan kes berkaitan pengedaran dadah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Dalam kes ini, tertuduh diwakili oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman.