Pembebasan Yusoff Rawther: Setiap individu berhak dapat keadilan - Saifuddin

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung Yusoff Rawther dibebaskan serta-merta kes dadah, miliki dua pistol tiruan

SHAH ALAM – Pembebasan bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther mengingatkan semua pihak tentang prinsip asas dalam sebuah negara demokrasi.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, setiap individu berhak mendapat keadilan dan kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan.

Iklan
Iklan

“Saya bersyukur dan menyambut baik berita tentang pembebasan Yusoff Rawther pada hari ini. Pembebasan ini bukan sahaja membawa kelegaan kepada beliau dan keluarga, malah mengingatkan kita semua tentang prinsip negara.

“Sebarang bentuk penindasan atau penganiayaan terhadap mana-mana insan, apatah lagi jika dilakukan atas sebab perbezaan politik adalah tidak wajar dan harus ditolak sekeras-kerasnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Pada Khamis, Muhammed Yusoff dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi daripada dua pertuduhan membabitkan pengedaran dadah jenis kanabis dan pemilikan dua pistol tiruan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yusoff, 32.

Iklan

Ketika membacakan keputusan, beliau menyatakan bahawa adalah tidak selamat untuk memanggil tertuduh membela diri.

Tambah Saifuddin, Malaysia seharusnya bebas daripada budaya pendakwaan terpilih dan penyalahgunaan kuasa.

“Saya menyeru semua pihak, khususnya institusi penguat kuasa dan kehakiman, untuk terus bertindak secara adil, profesional dan berteraskan fakta serta undang-undang bukan atas tekanan politik.

“Kita mesti berani mempertahankan hak setiap rakyat Malaysia agar negara ini terus menjadi tanah air yang adil dan bebas,” ujarnya.

Pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram di dalam kenderaan yang dinaikinya, di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Yusoff turut berdepan satu lagi pertuduhan berasingan kerana memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada jam 9.25 pagi hari yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya sekali.