Pelajar Tingkatan Empat patah tangan dibelasah dua rakan sekelas

Iklan
Mangsa yang patah tangan kiri menerima rawatan di hospital selepas didakwa dipukul dua rakan sekelasnya dalam kejadian pada 13 Mei lalu.
SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Seorang pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di Seremban Jaya, di sini, patah tangan kiri selepas didakwa dipukul dua rakan sekelasnya dalam kejadian pada 13 Mei lalu.

Ibu mangsa, Norbaizura Mohd Noor, 40, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi di dalam kelas ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung tanpa kehadiran guru.

Menurutnya, anaknya, Muhammad Zuhaily Mohd Annuar, 16, mengalami kesakitan yang teruk selepas dicekik dari arah belakang, ditarik dan ditumbuk bertubi-tubi oleh dua pelajar terbabit pada bahagian muka, mulut dan perut, selain turut dicampak ke lantai.

Iklan
Iklan

“Anak saya mengalami pendarahan di dahi, luka di mulut dan patah tulang siku. Dia hanya dibantu oleh seorang pelajar lain yang turut ditolak oleh pelaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Norbaizura meluahkan rasa kecewa apabila pihak sekolah tidak segera memaklumkan kejadian tersebut kepada waris. Sebaliknya, kejadian hanya diketahui melalui rakan anaknya yang kebetulan membawa telefon bimbit ke sekolah pada hari kejadian.

Iklan

“Saya dimaklumkan melalui telefon oleh pelajar tersebut pada jam 11.20 pagi. Tidak lama kemudian, telefon itu dirampas oleh guru yang kemudiannya bercakap dengan saya dan meminta saya bersabar.

“Saya dan suami terus ke sekolah untuk melihat keadaan anak, namun apa yang mengecewakan, dua pelajar berkenaan telah ‘disorokkan’ oleh pihak sekolah,” katanya.

Iklan

Dia dan suami kemudian bertindak membawa anak mereka mendapatkan rawatan di Hospital Seremban. Laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2.

“Sehingga kini, anak saya tidak hadir ke sekolah kerana trauma dan takut jika dipukul lagi. Malah, adiknya yang berada di Tingkatan Satu turut tidak hadir kerana menerima ugutan akan dikasari,” ujarnya.

Wanita itu berharap anaknya mendapat pembelaan dan keadilan, selain pelaku serta pihak sekolah dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kami bukan orang senang. Kos perubatan mencecah lebih RM10,000 yang kami tanggung sendiri. Kami hanya mahukan keadilan dan berharap kes seperti ini tidak berulang kepada pelajar lain.

“Saya mahu cikgu-cikgu dan pelajar yang terlibat direhatkan dan ditukarkan ke sekolah lain serta diambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Tambahnya, kes buli yang semakin berleluasa harus dibanteras serta dipandang serius, bukan hanya diambil tindakan selepas berlaku kehilangan nyawa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.

Katanya, suspek telah ditahan selepas siasatan dijalankan.

“Kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah,” jelasnya.