KUALA LUMPUR - Pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu Unit Tindakan Khas (UTK), menjadi antara pasukan elit yang mendapat permintaan tinggi dalam negara, khususnya dalam bidang pengiring dan perlindungan kenamaan serta operasi antikeganasan.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Gerakan), Deputi Komisioner M V Srikumar Madhavan Nair berkata, UTK bukan sahaja mengekalkan keupayaan tempurnya, malah terus berkembang selaras dengan cabaran semasa.
Menurutnya, operatif UTK adalah aset bernilai tinggi kerana mereka terlibat dalam operasi sulit dan berisiko tinggi.
“Perjawatan UTK tidak pernah penuh kerana permintaan terhadap mereka sangat tinggi, sama ada daripada agensi korporat mahupun individu kenamaan dalam dan luar negara yang amat berminat dengan kepakaran serta latihan dimiliki operatif UTK.
"Meskipun kekuatan semasa UTK mencecah 365 anggota, pasukan ini masih mempunyai kekosongan kira-kira 40 anggota,” katanya pada sidang akhbar sempena Upacara Penganugerahan Beret UTK dan Penutupan Kursus Asas Kawalan Rapat Keselamatan Siri 1/2025 di Bukit Aman, di sini, pada Khamis.
Dalam majlis itu, seramai 36 operatif baharu termasuk seorang wanita, terdiri daripada tujuh pegawai polis dan 29 pegawai rendah polis, melepasi Kursus Asas UTK Siri 1/2025.
Tambah Srikumar, hanya 15 hingga 18 peratus daripada anggota polis yang menyertai latihan UTK berjaya menamatkan kursus asas mereka tahun ini.
Tambahnya, ini sekali gus mencerminkan tahap saringan ketat untuk menyertai unit elit berkenaan.
"Angka itu menunjukkan hanya yang benar-benar terbaik dalam pasukan polis dipilih menyertai UTK.
"Ini membuktikan mereka yang benar-benar layak dan terbaik sahaja yang boleh bergelar anggota UTK. Walaupun mereka telah menamatkan latihan asas, perjalanan untuk bergelar anggota UTK sebenar masih belum berakhir kerana masih perlu melalui beberapa modul lanjutan termasuk latihan bahan letupan, penembak tepat, payung terjun dan latihan berkuda," ujarnya.
Katanya lagi, latihan asas yang dijalani bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah turut menilai kecekalan mental setiap calon.
“Mempunyai stamina sahaja tidak mencukupi. Mereka perlu ada semangat juang yang tinggi, disiplin dan semangat kerjasama dalam pasukan.
“Tiada ruang untuk rasa takut atau sikap negatif dalam unit ini,” katanya yang pernah berkhidmat bersama UTK dari tahun 1992 hingga 2019.
Dalam perkembangan berkaitan, Srikumar memaklumkan UTK dijangka berpindah ke kompleks baharu mereka di Semenyih tahun depan.
“Projek pembinaan kompleks itu sudah siap kira-kira 70 peratus. Apabila siap sepenuhnya, semua latihan dan operasi boleh dijalankan di fasiliti sendiri," ujarnya.