JOHOR BAHRU – Seorang pengurus sumber manusia warga Singapura didenda sebanyak RM9,100 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan khianat yang dilakukan minggu lalu.
Tertuduh, Cheng Kuan Poh Colin, 40, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A. Shaarmini.
Tertuduh yang masih bujang itu didakwa melakukan perbuatan khianat terhadap seorang lelaki sehingga menyebabkan kerugian serta mengaibkan kehormatan mangsa.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Cheng didakwa dengan niat menyebabkan kerugian dan kebinasaan harta, iaitu dengan merosakkan sebuah kereta milik lelaki berusia 32 tahun.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meludah ke muka mangsa, satu perbuatan yang mengganggu kesantunan dan mengaibkan kehormatan individu tersebut.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Taman Sutera Utama, Skudai, Johor Bahru pada 7 Jun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah mengenakan denda sebanyak RM4,300, manakala bagi pertuduhan kedua, denda sebanyak RM4,800 dikenakan.
Tertuduh berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 426 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam, manakala tertuduh diwakili peguam Norfarahin Mohd Yazid.