Taktik edar dadah guna kurier bernilai hampir RM1 juta tumpas

Iklan
Aminul Izmeer (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang cuba diseludup menggunakan perkhidmatan kurier dari Hong Kong ke sebuah rumah di Kulai, Johor.

JOHOR BAHRU - Cubaan satu sindiket untuk mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kurier terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mengesan dua kotak mencurigakan di sebuah Pejabat Poslaju sekitar bandar raya ini.

Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Suhaimi berkata, penemuan tersebut hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan Cawangan Narkotik JKDM Johor kira-kira jam 3.35 petang pada 23 April lalu.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan ke atas dua kotak berkenaan menemukan dua bungkusan gula-gula yang diletakkan di atas sebotol cecair berwarna hitam.

“Keputusan ujian dan saringan awal terhadap cecair itu mendapati ia positif dadah jenis morfin dengan anggaran berat lebih 10 kilogram. Nilai keseluruhan dadah yang disita dianggarkan berjumlah RM955,687,” katanya ketika sidang akhbar di sini, pada Khamis.

Iklan

Tambah beliau, kedua-dua kotak tersebut dihantar dari Hong Kong dan dialamatkan ke sebuah rumah teres dua tingkat di Johor Bahru.

Bagaimanapun, status berkaitan pemilikan rumah itu dan jumlah individu terlibat masih dalam siasatan pihak berkuasa.Aminul Izmeer berkata, pihaknya percaya sindiket terbabit cuba menyeludup dadah masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai penghantaran barangan biasa bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Iklan

“Modus operandi mereka adalah menggunakan bungkusan gula-gula sebagai penutup dan meletakkan dadah dalam botol cecair berwarna hitam yang sukar dikesan tanpa pemeriksaan rapi.

“Rampasan ini adalah kejayaan besar JKDM Johor dan kami akan terus mempergiatkan pemeriksaan terhadap bungkusan mencurigakan di semua pintu masuk termasuk pusat mel dan kurier.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan mengedar dadah, yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati," jelasnya.