Pusat hiburan transit GRO diserbu

Iklan
Serbuan dijalankan mendapati gadis warga asing dipercayai GRO ini sedang berada dalam premis terbabit serta melayan pelanggan.

KLANG – Taktik licik sebuah pusat hiburan yang berperanan sebagai lokasi transit gadis pelayan pelanggan (GRO) terbongkar apabila premis itu diserbu oleh Jabatan Imigresen Selangor dalam Ops Gegar di Bukit Tinggi, di sini pada Rabu.

Beberapa wanita yang dipercayai GRO pada mulanya mendakwa sebagai pelanggan pusat hiburan berkenaan ketika pemeriksaan dijalankan dalam operasi tersebut.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, alasan itu terbongkar setelah siasatan awal mendapati mereka dipercayai menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan yang dijalankan bermula kira-kira jam 9.30 malam itu telah menahan seramai 11 wanita dan seorang lelaki warga asing.

Iklan

"Kesemua wanita yang ditahan itu berusia antara 21 hingga 35 tahun terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan Kemboja.

"Selain itu, turut ditahan seorang lelaki warga Pakistan yang didapati bekerja sebagai pekerja bar di pusat hiburan terbabit," katanya pada Rabu.

Kesemua individu ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut.

Iklan

Beliau berkata, risikan mendapati premis tersebut dijadikan lokasi transit untuk GRO berkumpul sebelum dibawa ke hotel sekitar Klang.

"Modus operandi mereka adalah dengan melakukan rundingan awal melalui aplikasi media sosial sebelum bertemu pelanggan di pusat hiburan itu.

"Selepas persetujuan dicapai, GRO akan dibawa ke hotel untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan bayaran antara RM150 hingga RM300 sejam," katanya.

Menurutnya, serbuan itu dijalankan oleh 21 pegawai dan anggota Imigresen berdasarkan maklumat awam serta risikan pihaknya.

"Antara kesalahan yang dikesan termasuk di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Khairrul Aminus berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi seperti itu bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan pas serta aktiviti tidak bermoral melibatkan warga asing.