SICHUAN – Seorang lelaki di China memilih untuk menjalani kehidupan menyendiri di dalam sebuah gua sejak empat tahun lalu kerana menganggap pekerjaan dan perkahwinan sebagai sesuatu yang sia-sia.
Min Hengcai, 35, dari wilayah Sichuan, membuat keputusan drastik itu selepas meninggalkan kerjayanya sebagai pemandu e-hailing yang sebelum ini memberikan pendapatan sekitar 10,000 yuan (RM5,896) sebulan di bandar.
Beliau pulang ke kampung halamannya pada akhir tahun 2021 dan memilih untuk menjadi 'pertapa' moden dengan menghuni sebuah gua yang dinamakan sebagai Lubang Hitam – simbol kepada alam semestanya sendiri serta peringatan akan ‘kecilnya’ dirinya di dunia ini.
Menurut laporan portal QQ.com, Hengcai menyifatkan pekerjaan sebagai tidak bermakna, malah sebelum ini beliau bekerja selama 10 jam sehari semata-mata untuk membayar hutang kepada saudara-maranya.
Kini, beliau masih berhutang sekitar 300,000 yuan (RM176,901) kepada pihak bank dan beberapa syarikat pinjaman, namun tidak lagi meletakkan harapan untuk melangsaikannya kerana semua harta miliknya telah dijual oleh keluarganya.
Hengcai turut menukar tanah miliknya dengan sebidang tanah lebih kecil milik penduduk kampung lain demi mendapatkan hak ke atas gua berkeluasan 50 meter persegi itu. Beliau membelanjakan sekitar 40,000 yuan (RM23,587) untuk mengubah suai gua berkenaan menjadi tempat tinggal.
Rutinnya bermula seawal jam 8 pagi, diikuti dengan aktiviti membaca, berjalan di kawasan sekitar dan bercucuk tanam. Beliau hanya menggunakan wang untuk keperluan asas dan menjadikan sayur-sayuran yang ditanam sendiri sebagai sumber makanan harian.
Kehidupan sebegini, katanya, adalah impian sebenar ketika berada di bandar dan bergelut dengan tekanan hidup.
Menariknya, Min turut berkongsi gaya hidupnya melalui media sosial dan kini mempunyai lebih 40,000 pengikut. Malah, beliau berpotensi menjana pendapatan melalui siaran langsung.
Ketika ditemu bual oleh Televisyen Sichuan, Hengcai menyatakan bahawa beliau menolak perkahwinan kerana menganggapnya sebagai satu ‘pembaziran masa dan wang’.
“Peluang untuk bertemu cinta sejati amat rendah. Jadi kenapa saya perlu bekerja keras demi sesuatu yang sangat jarang berlaku?” katanya.
Kisah hidupnya mengundang pelbagai reaksi dalam talian. Ada yang melabelnya sebagai contoh sempurna fenomena tang ping – istilah popular di China yang merujuk kepada gaya hidup ‘berbaring malas’ atau cukup sekadar hidup sederhana.
Tidak kurang juga yang memujinya sebagai ‘falsafah hidup sebenar’, walaupun beliau tidak menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.
“Inilah kehidupan seperti di syurga,” tulis seorang netizen.
Bagaimanapun, ada juga yang mempersoalkan sejauh mana Hengcai benar-benar menjalani kehidupan terpencil, memandangkan beliau masih aktif membuat siaran langsung dan menerima temu bual media. – Agensi