KUALA LUMPUR - Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Isnin lalu, akan dilupuskan sepenuhnya.
Menteri Komunikasi, Datuk FahmiFadzil berkata, tidak timbul sebarang isu berkaitan bayaran balik pinjaman tersebut membabitkan kesemua mangsa kemalangan berkenaan.
Iklan
Iklan
“Sekiranya ada dalam kalangan pelajar yang merupakan penerima pinjaman PTPTN, maka berdasarkan dasar sedia ada, pinjaman itu dilupuskan atau dimaafkan.
“Jadi, tidak ada isu membabitkan 15 orang mangsa tersebut,” katanya dalam sidang media di Angkasapuri pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta agar bantuan tambahan diberikan kepada setiap keluarga mangsa nahas.
Justeru, menurutnya, Jemaah Menteri bersetuju untuk menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM10,000 kepada setiap 15 keluarga pelajar yang maut dan RM5,000 kepada mangsa yang cedera.
“Perdana Menteri juga telah mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti aspek insurans bagi membantu keluarga mangsa,” katanya.