SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan perlu segera menilai keperluan untuk menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang telah berusia 42 tahun tanpa perlu menunggu 'orang besar' dan berkepentingan negara berhadapan dengan nahas di lebuh raya itu.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, lebuh raya tersebut perlu dinaik taraf menjadi laluan dua lorong bagi setiap hala dengan pembinaan pembahagi jalan.
“42 tahun lalu, perbelanjaan sebanyak RM296 juta telah dikeluarkan oleh kerajaan untuk menghubungkan Lunas, Kedah ke Pasir Putih, Kelantan melalui Gerik dan Jeli dengan jarak sepanjang 225 kilometer (km).
“Justeru, sudah sampai masanya untuk kerajaan memperuntukkan peruntukan besar bagi menaik taraf lebuh raya ini meskipun berbilion ringgit,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau yakin ramai rakyat menyokong keperluan menaik taraf lebuh raya itu agar tragedi tragis yang meragut nyawa 15 pelajar universiti itu tidak lagi berulang.
Mohd Khairuddin berkata, laluan itu sangat berbahaya dan berisiko untuk kemalangan terutamanya dengan suasana gelap tanpa lampu jalan apabila melaluinya pada waktu malam.
Jelas beliau, antara punca bahaya adalah terlalu banyak selekoh tajam, cerun curam, laluan mendaki bukit, tiada pembahagi tengah, serta laluan satu lorong bagi setiap hala di kebanyakan perjalanan.
Menurutnya, pengguna lebuh raya juga perlu berhadapan dengan kenderaan berat seperti lori dan bas bertali arus, malah ada kalanya rosak hingga tersadai di tepi jalan.
“Selain itu, tampungan jalan di sana-sini sepanjang perjalanan pasti ada yang kurang sempurna. Tambahan lagi, berkabus di waktu tengah malam dan tiada lampu jalan,” ujarnya lagi.
Mohd Khairuddin mendedahkan beliau dan anak-anaknya pernah mengalami kemalangan teruk ketika pulang berhari raya dari Terengganu ke Kedah menggunakan jalan itu pada 2017.
“Walau dengan pelbagai risiko, termasuk bahaya binatang liar seperti gajah yang sering tular di media sosial, pengguna dari Pantai Timur ke Pantai Barat dan sebaliknya tiada pilihan lain kerana itulah laluan terdekat berbanding laluan lain,” jelasnya.
Tambahnya, pengguna Pantai Timur yang mahu ke Utara Semenanjung mempunyai pilihan untuk merentasi sempadan Thailand yang lebih selamat dan selesa dalam tempoh empat jam setengah berbanding hampir lima jam di lebuh raya itu.
Bagaimanapun, menurut bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, pengguna yang mahu ke Pulau Pinang, Selatan Kedah dan Perak tiada pilihan lain melainkan mengambil risiko dan menghadapi bahaya sepanjang lebuh raya tersebut.