RAUB – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub pada Rabu atas pertuduhan menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran sah di Cameron Highlands pada Julai tahun lalu.
Tertuduh, Law Hee Thiam, 46, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan Pengarah Syarikat Sayuran Hijau Agri Farm Sdn. Bhd. ketika itu, pada 31 Julai tahun lepas kira-kira jam 1 tengah hari, didakwa telah melakukan kesalahan dengan menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang tanpa kebenaran sah di koordinat (U 04˚30’42.1” T 101˚25’41.2”), di Tringkap, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Akta 828) (Disemak 2020) yang dibaca bersama Seksyen 428AA akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Taqiuddin Azizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, tertuduh memberikan alasan perlu menanggung empat orang termasuk isterinya yang sedang sakit.
Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 10 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.