Dakwaan brek tidak berfungsi, polis tunggu laporan terperinci

Iklan
Noor Hisam

IPOH – Dakwaan pemandu bas berhubung kegagalan fungsi brek kenderaan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan di Gerik, Isnin lalu, masih belum dapat disahkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, perkara itu hanya boleh dikenal pasti selepas pihaknya menerima laporan lengkap siasatan daripada agensi-agensi yang terlibat.

Iklan
Iklan

Beliau turut menasihatkan pemandu bas tersebut agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Kalau boleh, bersabarlah sedikit dan tunggu sehingga kenyataan direkodkan kerana siasatan ini melibatkan pelbagai aspek termasuk keadaan bas itu sendiri, pengendali, keadaan jalan dan sebagainya.

Iklan

“Siasatan secara terperinci dijalankan bersama beberapa agensi lain seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Kimia, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan lain-lain.

“Jadi, adalah lebih baik untuk semua pihak memberi ruang kepada kami dan agensi terlibat menjalankan tugas dengan telus,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Rabu.

Iklan

Menurut Noor Hisam, pihaknya masih belum merakam keterangan pemandu bas berusia 39 tahun itu kerana dia masih menerima rawatan di hospital. Perintah reman akan dilaksanakan selepas dia dibenarkan keluar.

“Kita juga telah merakam keterangan 18 individu, termasuk pelajar UPSI serta pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Setakat ini, 15 mangsa masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Hospital Taiping dan Hospital Baling, Kedah.

“Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang diperoleh juga telah dihantar ke Jabatan Forensik Bukit Aman untuk dianalisis,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi berhampiran Tasik Banding, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dilaporkan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV yang dinaiki empat sekeluarga.

Kemalangan itu meragut nyawa 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan, manakala pemandu serta penumpang MPV mengalami kecederaan.