KEPUTUSAN Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk meninggalkan UMNO minggu lalu masih hangat diperkatakan.
Malah perkara tersebut menjadi bualan sama ada ia dilakukan ekoran tempoh lantikan sebagai ahli Dewan Negara akan tamat tidak lama lagi atau sebaliknya.
Namun persoalan yang sering diperkatan adalah sama ada ia menjejaskan keyakinan terhadap keutuhan pentadbiran negara, khususnya dalam aspek pelaburan dan perdagangan.
Tampil meredakan suasana, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan. politik dan pentadbiran harus dipisahkan dengan jelas selain profesionalisme perlu diutamakan dalam mengurus hal ehwal negara.
Ketegasan tersebut secara tidak langsung mencerminkan pendirian kerajaan mengenai kestabilan dasar dan pelaksanaan ekonomi tidak bergantung kepada individu, sebaliknya bersandarkan sistem dan struktur yang kukuh.
Malah kehadiran Tengku Zafrul dalam majlis rasmi kerajaan selepas pengunduran beliau daripada UMNO memberi mesej bahawa peranannya dalam pentadbiran kerajaan masih relevan dan tidak tergugat.
Ia menunjukkan pendekatan inklusif dalam pemerintahan yang mana perbezaan politik tidak menghalang kerjasama demi kepentingan nasional.
Selain itu, kenyataan Ahmad Zahid yang menekankan hubungan peribadinya dengan Tengku Zafrul masih baik memberi gambaran perpisahan politik tidak membawa konflik dalaman yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran.
Ia mencerminkan kematangan politik dalam kalangan pemimpin dan mencerminkan perbezaan pandangan tidak semestinya membawa perpecahan fungsi atau dasar kerajaan.
Pendekatan ini penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap kesinambungan dasar negara terus terpelihara.
Maka tidak perlulah mana-mana individu tampil mempersoalkan kestabilan pentadbiran jika 'perceraian' antara Tengku Zafrul dan UMNO tidak menjejaskan sebarang dasar negara.