Usaha tembusi 'tembok laut' Zionis

Iklan
Sejak Israel mengenakan sekatan ketat ke atas Gaza pada 2007, pelbagai pertubuhan kemanusiaan antarabangsa telah mencuba untuk menghantar bantuan secara langsung ke wilayah itu melalui laluan maritim.

GENTING GAZA - Sejak Israel mengenakan sekatan ketat ke atas Gaza pada 2007, pelbagai pertubuhan kemanusiaan antarabangsa telah mencuba untuk menghantar bantuan secara langsung ke wilayah itu melalui laluan maritim.

Matlamat utama mereka adalah untuk menyalurkan bantuan perubatan, makanan dan keperluan asas secara terus kepada penduduk Palestin di samping mencabar kepungan haram dilaksanakan Israel. Tetapi, tidak semua misi tersebut berjaya tiba di Gaza.

Iklan
Iklan

Berikut adalah antara konvoi kapal kemanusiaan yang mendapat liputan meluas media antarabangsa.

---------

Iklan

1. Free Gaza Movement (2008)

Dua kapal yang membawa aktivis antarabangsa bersama bekalan kemanusiaan termasuk ubat-ubatan dan bantuan asas penting di bawah Free Gaza Movement berjaya tiba di Gaza. Ia merupakan kejayaan pertama dalam sejarah moden. Gerakan itu diasaskan pada 2006 oleh aktivis ketika Israel melancarkan perang ke atas Lubnan. Antara 2008 dan 2016, sebanyak 31 kapal bantuan dilancarkan dan hanya lima daripadanya yang berjaya sampai ke Gaza.

Iklan

2. Gaza Freedom Flotilla (Mei 2010)

Ia merupakan misi paling kontroversi melibatkan enam kapal termasuk Mavi Marmara yang membawa lebih 600 aktivis dari pelbagai negara dan membawa kira-kira 10,000 tan bantuan. Misi tersebut berakhir tragis apabila tentera Zionis melancarkan serbuan ganas ke atas Mavi Marmara di perairan antarabangsa dan menyebabkan seramai 10 aktivis terkorban selain sejumlah mangsa cedera. Kejadian itu mencetuskan krisis diplomatik antara Turkiye dan Israel. Pada 2013, Tel Aviv memohon maaf atas 'kesilapan operasi' dan rundingan pampasan masih berjalan bersama Ankara.

3. Freedom Flotilla II (Julai 2011)

Ia dilancarkan setahun selepas misi pada 2010 anjuran gabungan aktivis antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Flotila itu melibatkan lebih 300 peserta dari seluruh dunia yang akan berlayar bersama 10 kapal. Namun, tekanan Israel dan halangan teknikal menyebabkan kesemua kapal disekat untuk meneruskan misi mereka dan terpaksa dibatalkan.

Hanya Dignite-Al Karama yang membawa 17 aktivis sempat menghampiri perairan Gaza, tetapi dipintas unit komando Israel dan ditunda ke Pelabuhan Ashdod. Kesemua aktivis itu ditahan untuk disoal siasat sebelum dideportasi.

4. Freedom Flotilla III (Jun 2015)

Ia merupakan percubaan ketiga yang dilancarkan aktivis antarabangsa untuk memecahkan sekatan maritim Israel. Misi tersebut diketuai Marianne of Gothenburg. Tetapi, Israel bertindak memintas kapal itu ketika ia berada hampir dengan pantai Gaza. Kapal tersebut ditunda ke Ashdod dan kesemua aktivis ditahan sebelum dihantar pulang.

5. Just Future for Palestine (2018)

Ia juga dikenali sebagai Gaza Freedom Flotilla di bawah misi berterusan untuk mencabar kepungan haram Israel ke atas Gaza. Kempen itu melibatkan dua kapal utama, Al Awda dan Freedom bersama dua kapal layar sokongan, Mairead serta Falestine. Israel bertindak menahan dan merampas Al Awda serta Freedom. Kesemua penumpang juga diberkas dan menjadi mangsa tindakan kekerasan Zionis. Mereka ditempatkan di pusat tahanan sebelum dideportasi ke negara asal masing-masing.

6. Misi solidariti (2023–24)

Beberapa kumpulan aktivis dari Turkiye dan Eropah mengumumkan rancangan untuk menghantar bantuan menerusi laluan maritim. Namun, disebabkan halangan politik, keselamatan dan campur tangan awal rejim Tel Aviv, tiada bot berjaya belayar atau tiba di Gaza dalam tempoh tersebut ketika perang genosid ke atas Gaza terus diperhebatkan.

7. Gaza Freedom Flotilla (Jun 2025)

Israel bertindak memintas kapal bantuan, Madleen menuju ke Gaza dan menahan kira-kira 12 aktivis antarabangsa termasuk pejuang krisis iklim dunia, Greta Thunberg. Freedom Flotilla Coalition (FFC) mendakwa tindakan Zionis menyerang Madleen jelas melanggar undang-undang. Pada bulan lalu, sebuah lagi kapal misi bantuan, Conscience membawa puluhan aktivis di bawah FFC menjadi sasaran serangan dron Israel di luar perairan Malta hingga menyebabkan kebakaran dan kerosakan teruk. Seramai empat mangsa turut dilaporkan cedera dan melecur.