Thailand kenakan perintah berkurung di Narathiwat susulan serangan bom

Iklan
Sebanyak 11 stesen minyak di tiga wilayah sempadan selatan - Narathiwat, Yala dan Pattani - menjadi sasaran serangan bom dan arson yang dilakukan secara serentak pada awal pagi Ahad. Foto: Agensi

NARATHIWAT - Thailand menguatkuasakan perintah berkurung serta-merta di wilayah sempadan selatan, Narathiwat, susulan siri insiden keganasan yang melibatkan serangan bom dan arson pada awal pagi Ahad.

Komander Pasukan Petugas Narathiwat, Mejar Jeneral Yodawud Puengpak berkata perintah berkurung itu berkuat kuasa serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, dan melarang penduduk meninggalkan rumah dari pukul 9 malam hingga 5 pagi.

Iklan
Iklan

"Pihak berkuasa akan melaksanakan langkah-langkah bersiri bagi mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam, termasuk memperketatkan kawalan di pusat pemeriksaan sempadan di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia," katanya selepas melawat kawasan terjejas di sini pada Ahad.

Terdahulu, sebanyak 11 stesen minyak di tiga wilayah sempadan selatan - Narathiwat, Yala dan Pattani - menjadi sasaran serangan bom dan arson yang dilakukan secara serentak pada awal pagi Ahad.

Iklan

Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awal menunjukkan serangan itu dilakukan oleh kumpulan bersenjata yang bertopeng.

Sasaran melibatkan lima stesen minyak PTT di Narathiwat, empat di Yala dan dua di Pattani, dengan insiden dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi.

Iklan

Perdana Menteri Anutin Charnvirakul berkata beliau telah diberi taklimat mengenai situasi berkenaan dan mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut Anutin, agensi keselamatan menilai bahawa insiden itu bertujuan memberi isyarat berkaitan pilihan raya umum yang akan datang dan bukan bertujuan melakukan tindakan keganasan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa insiden sedemikian tidak boleh dibiarkan berulang dan menambah bahawa penyelarasan telah dilakukan dengan Tentera Darat Wilayah Keempat dan Polis Wilayah Kesembilan untuk menangani situasi itu.

Ditanya sama ada mesyuarat tergempar dengan agensi keselamatan akan diadakan, Anutin berkata perbincangan sedang berjalan dalam kalangan pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, Polis Diraja Thailand telah menggerakkan pasukan untuk menyiasat insiden terbabit dan mengumpul bahan bukti susulan siri letupan dan serangan arson di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Jurucakap Polis Diraja Thailand, Lt Jen Yingyot Thepjamnong berkata pemeriksaan awal mendapati kerosakan teruk berlaku pada harta benda di stesen minyak serta kedai serbaneka yang terjejas.

"Insiden itu menyebabkan empat orang cedera, termasuk orang awam dan pegawai polis. Seorang daripada mangsa yang cedera ialah pegawai polis dari Balai Polis Rangae di Narathiwat yang terkena serpihan bom semasa melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian di cawangan stesen minyak Tanyongmas," katanya.

Polis Diraja Thailand menegaskan komitmen mereka untuk memulihkan keamanan dan ketenteraman di kawasan itu dengan segera serta menggesa orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat atau melaporkan individu mencurigakan melalui talian penting 191 atau 1599 yang beroperasi 24 jam sehari. - Bernama