SHAH ALAM – Ejen Pemilikan Semula (EPS) berlesen di Lembah Klang menegaskan bahawa semua operasi berkaitan pengambilan semula kenderaan oleh ejen berdaftar dilakukan mengikut undang-undang serta peraturan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Wakilnya, Saravenan Palani, 48, berkata, pihaknya beroperasi di bawah permit sah yang dikeluarkan KPDN sejak 15 Jun 2011 dan setiap tindakan, termasuk surat-menyurat kepada pemilik kenderaan, dilakukan melalui saluran yang disahkan oleh syarikat kewangan selaku pemiutang.
"Kami bukan bertindak sewenang-wenangnya. Semua ejen perlu melalui proses tapisan ketat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama tiga hingga empat bulan sebelum diberi kelulusan sebagai EPS berlesen,” katanya kepada pemberita di Shah Alam pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa EPS diwajibkan menghadiri kursus berkala setiap enam bulan yang dikendalikan oleh pihak KPDN mengikut zon masing-masing, termasuk di Lembah Klang.
Selain itu, katanya, semua EPS berlesen adalah ahli kepada Persatuan Sewa Beli Malaysia dan tertakluk kepada kod etika serta garis panduan operasi yang ditetapkan oleh industri.
Mengulas dakwaan negatif yang dilemparkan oleh seorang aktivis, Yusuf Azmi, mengenai operasi EPS sebagai ‘tidak mengikut peraturan’, Saravenan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai berat sebelah dan tidak mencerminkan realiti keseluruhan industri EPS.
"Tindakan segelintir pihak seperti Yusuf Azmi yang menyebarkan naratif negatif di aplikasi sosial terhadap semua ejen EPS adalah tidak adil dan boleh menjejaskan nama baik mereka yang mengikut peraturan.
"Kami tidak menolak dialog. Justeru, saya mencadangkan agar Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, dilantik sebagai orang tengah dalam menyelesaikan kemelut ini secara berhemah,” katanya.
Menurut beliau, penglibatan pihak berkecuali amat penting bagi menjernihkan keadaan dan mengelakkan kekeliruan berterusan dalam kalangan masyarakat.
"Kalau Yusuf Azmi masih mengeluarkan kenyataan yang meragukan dan mengelirukan kepada netizen dan juga penyewa kereta (peminjam), saya akan mengarahkan semua EPS di seluruh Malaysia membuat laporan polis secara serentak.
"Selaku wakil EPS, saya juga sedia berdebat dengan Yusuf Azmi tentang isu Peraturan Sewa Beli, Permohonan Permit, dan Tatacara Pemilikan Semula Barang (2011)," tambahnya.
Saravenan turut menegaskan bahawa komuniti EPS bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencari penyelesaian tuntas yang adil kepada semua pihak.
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai penarik kereta didakwa mengepung Yusuf Azmi kerana isu tunggakan bayaran kenderaan.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di akaun TikTok @kakikorekofficial, kejadian tersebut dikatakan berlaku pada 28 Mei lalu di sebuah kawasan perumahan.