286 unit rumah Makmur Kampung tiram siap Mac tahun depan

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai keluhan pembeli unit Projek Perumahan Makmur Kampung Tiram.

KUANTAN - Sebanyak 286 unit rumah bagi Projek Rumah Makmur Fasa 1 di Kampung Tiram dijangka dapat disiapkan pada Mac tahun hadapan.

Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dalam satu kenyataan menjelaskan, kemajuan kerja-kerja fizikal di tapak telah mencapai 44 peratus setakat Mac lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keseluruhan projek dijangka siap menjelang Mac 2026, tertakluk kepada kelulusan teknikal serta pelaksanaan yang lancar oleh pihak pemaju dan agensi berkaitan

"LPHP juga menyedari beban kewangan yang ditanggung oleh pembeli, terutamanya mereka yang telah mula membuat bayaran pinjaman perumahan.

Iklan

"Sehubungan itu, LPHP akan memantau perkembangan projek ini dan melaksanakan tindakan susulan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menerusi kenyataan itu, LPHP memaklumkan pihaknya sentiasa memandang serius perkembangan projek berkenaan dan menghargai keprihatinan masyarakat terhadap isu perumahan rakyat di negeri ini.

Iklan

"Sekali lagi kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan akan terus berusaha memastikan setiap projek perumahan di bawah seliaan LPHP berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sebelum itu, LPHP mengambil maklum berhubung satu hantaran video berdurasi 20 saat yang dimuat naik oleh pengguna akaun TikTok @lily__petals pada Isnin yang memaparkan keadaan semasa Projek Rumah Makmur di Kampung Tiram dan mengutarakan beberapa persoalan berkaitan status pelaksanaan projek.

Berdasarkan kenyataan tersebut, LPHP menjelaskan pihak kami amat memahami kebimbangan yang disuarakan dan menghargai keprihatinan orang awam terhadap isu perumahan rakyat.

Justeru itu, pihaknya komited untuk memberikan maklumat yang telus serta memastikan tindakan susulan yang wajar diambil agar projek ini dapat disempurnakan demi kepentingan pembeli dan rakyat secara keseluruhannya

"Sebagai makluman, LPHP telah menjalankan lawatan tapak ke projek berkenaan pada 14 April lalu bagi menilai status semasa pembinaan.

"Hasil lawatan tersebut telah direkodkan dalam satu laporan penemuan dan dikemukakan kepada pihak pemaju, Nilaitek (M) Sdn Bhd bertarikh 22 April lalu untuk tindakan penambahbaikan segera," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, dalam surat tersebut LPHP memohon agar pihak pemaju menambah bilangan pekerja di tapak bagi memastikan kerja-kerja pembinaan dapat berjalan lancar dan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan luahan pembeli unit Projek Perumahan Makmur Kampung Tiram di sini yang rasa kesal terhadap kegagalan pihak pemaju menyiapkan rumah mereka walaupun bayaran pinjaman telah bermula sejak dua tahun lalu.