Sudah satu dekad kerajaan suruh pasang ‘speed limiter’: Apa sudah jadi?

Iklan
Kerajaan tidak sepatutnya berlembut lagi dengan pemilik kenderaan berat yang didapati masih enggan menggunakan pengehad kelajuan. Gambar hiasan

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, kerajaan sudah memperkenal penggunaan speed limiter atau pengehad kelajuan sebagai usaha berterusan untuk menangani kadar kemalangan maut yang tinggi, khususnya melibatkan kenderaan berat seperti bas dan lori.

Cuma yang menjadi kekesalan kita ialah selepas satu dekad peraturan untuk pemasangan alat pengehad kelajuan diperkenalkan, angka kematian akibat kemalangan jalan raya membabitan kenderaan berat terus berlaku malah semakin meningkat.

Iklan
Iklan

Jadi kerajaan tidak sepatutnya berlembut lagi dengan pemilik kenderaan berat yang didapati masih enggan menggunakan alat tersebut.

Bagaimanapun, pelaksanaan perkara tersebut dibangkitkan semula oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, susulan kemalangan maut yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi 9 Jun lalu.

Iklan

Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan beberapa penguatkuasaan dan pematuhan mandatori melibatkan kenderaan berat menjalankan penguatkuasaan mandatori, termasuk melibatkan pengehad kelajuan.

Jelasnya, antara masalah yang berlaku ialah alat tersebut didapati telah dibuka dan hanya akan dipasang kembali ketika pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Iklan

Speed limiter ialah sejenis alat elektronik yang dipasang dalam kenderaan bagi mengehadkan kelajuan maksimum yang boleh dicapai, tanpa bergantung kepada tindakan pemandu.

Fungsi utama alat tersebut adalah untuk mengawal kuasa enjin agar tidak melebihi had kelajuan yang ditetapkan, sekali gus mengurangkan risiko nahas akibat pemanduan melulu atau melebihi had laju.

Antara kategori kenderaan yang diwajibkan memasang pengehad kelajuan termasuklah bas ekspres, bas sekolah, lori berat yang melebihi 7.5 tan dan kenderaan pengangkutan awam serta barang komersial tertentu

Speed limiter berfungsi dengan cara mengawal sistem elektronik kenderaan. Sebaik sahaja kenderaan mencapai had kelajuan maksimum yang ditetapkan – contohnya 90 kilometer sejam untuk bas – alat ini secara automatik akan menghalang enjin daripada meningkatkan kelajuan.

Bagaimanapun, alat tersebut tidak akan mengawal sistem brek, tetapi bertindak pada sistem bahan api dan kuasa enjin untuk memastikan had kelajuan tidak dapat dilepasi.

Pelaksanaan ini dibuat berlandaskan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pemeriksaan terhadap pemasangan speed limiter dilakukan oleh agensi seperti Puspakom semasa pemeriksaan berkala, dan JPJ turut memainkan peranan dalam pemantauan pematuhan undang-undang ini.

Pemandu atau syarikat yang gagal mematuhi arahan pemasangan boleh dikenakan tindakan, termasuk denda, penggantungan lesen, dan dalam kes berat, pengharaman kenderaan daripada beroperasi.

Cabaran dan kepatuhan

Namun begitu, pelaksanaan dasar tersebut bukan tanpa cabaran. Terdapat penentangan awal daripada sebahagian pengusaha pengangkutan yang mempersoalkan kos pemasangan serta kebolehpercayaan teknologi ini.

Tambahan pula, terdapat laporan berkenaan pengubahsuaian haram terhadap alat tersebut, yang secara terang-terangan melanggar peraturan dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Pematuhan terhadap peraturan ini juga didapati masih tidak menyeluruh, terutamanya dalam sektor logistik swasta yang kurang dipantau secara aktif.

Kesimpulan

Dalam landskap jalan raya yang semakin sibuk dan mencabar, pelaksanaan speed limiter adalah langkah yang bukan sahaja bijak, malah kritikal.

Ia merupakan satu daripada banyak inisiatif ke arah mencapai matlamat sifar kemalangan maut yang digariskan dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.

Namun, tanpa kerjasama semua pihak termasuk pengusaha, pemandu, penguat kuasa dan masyarakat – keberkesanannya akan terus terhad. Had kelajuan bukan sekadar nombor, ia boleh jadi perbezaan antara hidup dan mati.

* Junhairi Alyasa merupakan Pengarang Berita Sinar Harian