GUA MUSANG - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyumbangkan 59 ekor lembu untuk dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha bersama masyarakat Orang Asli di tujuh perkampungan di sini pada Selasa.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ia melibatkan Pos Brooke, Kuala Lah, Betis, Hendrop, Tuel, Sungai Rual dan Lebir.
"Daging korban tersebut diagihkan kepada 3,700 ketua isi rumah. Melalui sumbangan ini diharapkan Orang Asli bergama Islam dapat merasa daging korban," katanya semasa sidang akhbar Majlis Ibadah Korban Perdana Masyarakat Orang Asli Negeri Kelantan di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini pada Selasa.
Hadir sama, Tengku Puan Temenggong, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman.
Beliau yang juga merupakan Tengku Temenggong Kelantan memberitahu, pihak MAIK menjadikan program ibadah korban di perkampungan Orang Asli sebagai program rutin yang diadakan saban tahun bagi meraikan hari kebesaran Islam.
Ujarnya, program itu bermula pada hari raya kedua Aidiladha di kawasan penempatan masing-masing dan kemuncaknya pada Selasa.
Menurut Tengku Mohamad Rizam, MAIK turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli tanpa mengira agama sebagai tanda kecaknaan MAIK terhadap seluruh masyarakat Orang Asli.
Sementara itu penerima, Norvelly Sekmo, 39, berkata, setiap tahun dia ternanti-nantikan program ibadah korban.
"Kami jarang makan daging kerana jauh untuk keluar ke bandar. Jadi pada Hari Raya Aidiladha dapatlah merasa makan daging sepuas-puasnya.
"Raya kali ini saya dapat sekitar dua kilogram daging, dapatlah dijadikan stok makanan selain ikan serta ayam," kata ibu kepada dua anak itu.
Suri rumah, Zarina Mat Nor, 39, pula memberitahu, setiap tahun acara korban memberi peluang kepadanya untuk berkumpul bersama rakan-rakan yang lain dari kampung berbeza.
Ujar ibu kepada empat orang anak itu, selain dapat bekalan daging dia juga berpeluang melihat Tengku Temenggong Kelantan serta isteri lebih dekat.
"Seronok, kami berkumpul ramai-ramai tengok orang sembelih lembu. Lepas itu kenduri makan ramai-ramai," katanya.