MELAKA – Gabungan Selamatkan Pesisir Pantai Melaka (SOS Melaka) membantah projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) kerana didakwa memusnahkan alam sekitar dan tidak memberikan manfaat ekonomi kepada rakyat.
SOS Melaka menerusi kenyataan pada Selasa mendakwa, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang membabitkan tambakan seluas 2,766 ekar itu merupakan projek tambakan laut paling besar namun mengancam warisan dan alam sekitar pada masa akan datang.
Pihak berkenaan menggesa kerajaan membatalkan projek tambakan yang didakwa tidak bertanggungjawab dan memberi tumpuan kepada pembangunan kelestarian yang melindungi warisan, alam sekitar, dan kesejahteraan rakyat.
"Rakyat Melaka juga telah berulang kali mendengar janji kosong seperti nilai pelaburan RM100 bilion dan 75,000 peluang pekerjaan seperti mana projek Melaka Gateway dan Pulau Melaka Twin City, namun kini kedua-duanya terbengkalai seperti ‘bandar hantu’ dan tidak mustahil SM-WEZ akan menerima nasib yang sama.
"Apakah keperluan dan logik menambak lagi laut sedangkan tanah tambakan lama masih terbiar? SM-WEZ berisiko menjadi projek gajah putih yang membazir dan digunakan untuk spekulasi hartanah, bukannya keperluan sebenar rakyat," menurut kenyataan itu.
Menurut SOS Melaka, kerajaan negeri harus mengambil iktibar daripada kes bandar Liverpool di UK, yang hilang status UNESCO pada 2011 selepas pembangunan tepi lautnya yang memusnahkan nilai sejarah dan budaya bandar tersebut.
Tambah kenyataan itu, berdasarkan laporan EIA, projek ini akan mengubah rupa bentuk pesisir pantai Melaka secara drastik dan dijangka akan menjejaskan Nilai Luar Biasa Universal (OUV) Melaka.
"Adakah Melaka juga akan kehilangan status UNESCO akibat projek SM-WEZ ini? Hentikan Projek Tambakan Mega SM-WEZ di Melaka yang mengancam warisan, alam sekitar, dan masa depan kita," persoal SOS Melaka.
Menurut kenyataan itu lagi, laporan EIA turut mengakui bahawa tapak projek ini begitu sensitif terhadap banjir dan hakisan serta menyenaraikan banyak kawasan pantai Melaka yang terdedah kepada risiko terutama ketika air pasang.
Katanya, projek SM-WEZ didakwa akan memudaratkan dan tidak membawa faedah kepada rakyat negeri ini dan pihaknya mendesak Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya tidak meluluskan laporan EIA ini.
"Sekiranya projek itu diteruskan, Melaka bakal menyaksikan kepupusan penyu karah di semenanjung Malaysia, selain laporan EIA mengakui projek ini akan menyebabkan kemusnahan habitat laut secara kekal.
"Laporan EIA untuk SM-WEZ kini dibuka untuk bantahan awam dan kami menyeru semua rakyat yang prihatin untuk mengemukakan bantahan di https://tinyurl.com/bantahEIA," menurut SOS Melaka.