PUTRAJAYA – Seramai 18 daripada 33 mangsa yang cedera dalam nahas bas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Perak pada Isnin lalu telah dibenarkan pulang.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa 15 mangsa lagi masih menerima rawatan di tiga fasiliti kesihatan iaitu Hospital Taiping (10 orang), Hospital Baling (tiga orang) dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (dua orang).
"Kebanyakan mangsa mengalami kecederaan pelbagai dan tiada mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Menurut KKM, pemantauan dan sokongan psikososial secara berterusan akan diberikan kepada semua mangsa serta keluarga yang terlibat dalam nahas berkenaan.
Sebanyak sembilan pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) melibatkan seramai 40 anggota telah digerakkan bagi membantu mangsa dan ahli keluarga menghadapi trauma insiden tersebut.
"Bilik gerakan di peringkat negeri dan daerah juga telah diaktifkan untuk menyelaras tindakan balas insiden dengan kerjasama semua agensi berkaitan,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi Isnin lalu, sebuah bas membawa 44 pelajar UPSI terbabas dan merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), menyebabkan 13 maut di lokasi dan dua lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan,