Nahas pelajar UPSI: Jenazah 15 mangsa selamat dikebumikan

Iklan
NORKHALID

BESUT - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengesahkan kesemua 15 pelajarnya yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, selamat dikebumikan pada Selasa.

Semua mangsa yang berasal dari Terengganu itu telah dikebumikan di kampung halaman masing-masing dan pengebumian jenazah terakhir selesai sekitar jam 10.30 pagi.

Iklan
Iklan

Timbalan Naib Canselornya, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, urusan pengebumian berjalan lancar hasil kerjasama semua pihak termasuk keluarga mangsa, polis, bomba serta beberapa agensi lain.

"Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan sejak kami menerima berita duka ini sehinggalah selesai pengebumian kesemua mangsa.

Iklan

"Kita amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu melancarkan urusan pengebumian," katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian salah seorang mangsa di Kampung Gong Duek di sini pada Selasa.

Menurutnya, pihak universiti turut memberi sokongan penuh kepada keluarga mangsa termasuk menguruskan proses membawa pulang jenazah dari lokasi kejadian hingga ke tanah perkuburan.

Iklan

"Pihak universiti amat berdukacita dengan kejadian ini dan menyifatkannya sebagai satu musibah besar yang turut meruntun seluruh perasaan rakyat Malaysia," ujarnya.

Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dari Jertih, Besut ke Tanjung Malim, Perak dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Sebanyak 15 nyawa terkorban dalam kejadian itu termasuk 13 yang maut di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Beberapa mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Gerik, Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.