SEREMBAN - Tiga rakan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah mencuri beg tangan berjenama dan mata wang asing di sebuah rumah pada April lalu.
Majistret, Nurul Saqinah Rosli, menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Muhammad Nurfirdaus Abdullah, 29, Mohd Khiri Azzam Amir, 29, dan Muhamad Mualyzi Mohd Hsaad, 29, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu 22 April 2025 dan kesemua barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mencuri barangan milik seorang lelaki iaitu dua beg tangan jenama YSL dan Coach serta wang tunai mata wang asing 80 dolar Singapura (RM263.32) dan 1,500 Riyal Arab Saudi (RM1,695).
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi di Jalan Jentayu Timur Jentayu @ Enstek, Nilai pada 4 April lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur'Aqilah Syarfa Nik Zaidi, memohon agar hukuman yang setimpal dikenakan terhadap kesemua tertuduh.
Ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chrysandy Lai, memohon hukuman penjara paling minimum bermula dari tarikh tangkapan.
Chrysandy berkata, Muhammad Nurfirdaus bekerja sebagai pembantu kedai makan, Mohd Khiri Azzam sebagai juruelektrik, manakala Muhamad Mualyzi bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan pendapatan sekitar RM1,000 dan masing-masing menanggung keluarga.
Berdasarkan fakta kes, pada 28 Mac lalu, pengadu telah datang ke rumahnya di Jalan Jentayu Timur Jentayu @ Enstek, Nilai, dan mendapati pintu jeriji rumah telah diumpil serta tingkap pecah dengan keadaan rumah berselerak.
Beberapa barang berharga didapati hilang termasuk barang kemas, beg tangan berjenama dan wang tunai mata wang asing.